Percutian percuma ke Korea Selatan
PETRON Malaysia menawarkan percutian percuma ke Korea Selatan kepada pelanggan setianya menerusi Kempen Jom Jalan-Jalan Seoul yang boleh disertai bermula 1 Disember lalu hingga 29 Februari tahun depan.
Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia, Shaliza Mohd Sidek berkata, kempen itu terbuka kepada semua pemegang kad Petron Miles (P-Miles) dan boleh didapati di 770 stesen Petron seluruh negara.
“Bagi pemegang kad P-Miles, mereka akan mendapat satu penyertaan cabutan bertuah dengan pembelian petrol minimum RM50 manakala pengguna aplikasi pula mempunyai lima kali lebih banyak penyertaan.
“Petron juga akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dengan menyediakan dua penyertaan bagi setiap mata.
“Selain tawaran percutian, kempen ini turut memberi ganjaran kepada 62 pemenang bertuah dengan hadiah bernilai lebih RM250,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Pelancaran kempen tersebut di Menara Hap Seng dekat sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Urusan Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO) Malaysia, Moon Sangho serta Pengarah Eksekutif Media dan Tajaan ONE TV Asia, Edith Goh.
Kempen Jom Jalan-Jalan pertama kali dilancarkan pada 2021 dengan kerjasama Tourism Malaysia menawarkan pakej percutian ke destinasi tempatan kemudian diikuti dengan pelancongan ke Turkiye pada 2022.
Tambah Shaliza, Korea dipilih berikutan fenomena Hallyu atau gelombang Korea yang melanda dunia ketika ini menyebabkan negara itu muncul sebagai salah satu destinasi pelancongan teratas dalam kalangan rakyat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!