Nafuzi tabik semangat juang Kedah di Likas

Pemain Kedah, Bojan Ciger berusaha mengekang tonggak Sabah, Saddil Ramdani dalam aksi Liga Super di Stadium Likas malam tadi. - Foto Bernama
Pemain Kedah, Bojan Ciger berusaha mengekang tonggak Sabah, Saddil Ramdani dalam aksi Liga Super di Stadium Likas malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mengakui berpuas hati dengan komitmen diberikan pemain skuad Kenari selepas kelab utara tanah air itu mengakhiri saingan Liga Super dalam kelompok empat terbaik musim ini.

Malah, jelas bekas pengendali Terengganu FC yang memulakan penampilan pertama bersama KDA musim ini, saingan pemburuan tempat kedua dan ketiga juga sengit sehingga baki dua perlawanan terakhir liga.

"Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan segala yang diberikan para pemain, satu pencapaian cemerlang terutama buat musim pertama saya bersama pasukan Kedah.

"Tahniah kepada pasukan Sabah yang mendapat tempat ketiga dalam perebutan dengan Kedah malam ini. Saya rasa persembahan yang baik dipamerkan kedua-kedua pasukan.

"Separuh masa pertama bermula agak tertekan menyebabkan kita melepaskan dua gol mudah yang memberikan keselesaan kepada Sabah.

"Biarpun begitu, Kedah bermain lebih baik separuh masa kedua berbanding separuh masa pertama. Kita berusaha bangkit, namun cara bertahan Sabah agak baik pada malam ini (Ahad)," katanya selepas perlawanan.

Mengenai penampilan terakhir tonggak Sabah, Mohd Amri Yahyah bersama The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan itu, Nafuzi berkata: "Amri Yahyah seorang pemain yang sukar dicari ganti.

"Kita tengok dari permulaan kariernya sehingga ke penghujung karier dia begitu cemerlang dan konsisten biarpun berada dengan mana-mana pasukan.

Artikel Berkaitan:

"Secara peribadi, saya sangat bangga dapat melihat Amri Yahyah cemerlang awal penglibatan sehingga akhir kariernya dan adalah sukar mencari pemain pengganti seperti Amri Yahyah. Saya ucapkan selamat maju jaya buat Amri Yahyah dalam bidang yang diceburi selepas ini."

KDA mengakhiri cabaran dalam kedudukan keempat terbaik liga dengan mengumpul 53 mata - 17 menang, dua seri, tujuh tewas - setelah mengharungi 26 perlawanan.

Skuad Kenari musim lalu mengakhiri saingan di tempat kelapan liga selepas mengharungi 22 perlawanan - lapan menang, tiga seri, 11 tewas.

Mentaliti menang pacu Sabah tiga terbaik Liga Super

Dalam perkembangan sama, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kejayaan The Rhinos mengakhiri saingan Liga Super dalam kelompok tiga terbaik musim ini sesuatu yang amat membanggakan buat kelab dari Kepulauan Borneo tersebut.

"Pencapaian ini sesuatu yang amat positif biarpun saya tidak boleh katakan kejayaan besar apabila kita mampu mengekalkan prestasi pasukan terutama pada pusingan kedua Liga Super.

"Hari ini pemain Sabah membuktikan bahawa mereka mempunyai mentaliti menang, sikap positif serta semangat yang cukup tinggi untuk memenangi perlawanan ini.

"Saya harap para pemain Sabah dapat mengekalkan disiplin tinggi apabila mengharungi separuh akhir Piala AFC selepas ini," katanya selepas perlawanan.

Sabah sebelum itu melabuh tirai musim 2023 dengan meraih kemenangan ke-17 liga dengan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad.

Gol melalui Irfan Fazail (m-7’) dan Ramon Machado (m-43’) membolehkan The Rhinos menamatkan kempen kelompok ketiga terbaik dengan 54 mata - 17 menang, tiga seri, enam tewas - selepas mengharungi 26 perlawanan.

Sebagai rekod, Sabah musim lalu mengakhiri cabaran di kedudukan ketiga - 13 menang, tiga seri, enam tewas - dengan 42 mata selepas mengharungi 22 perlawanan.

Anak buah Kim Swee akan meneruskan kempen separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC selepas The Rhinos muncul juara

Kumpulan H selepas menumpaskan kelab Singapura, Hougang United 4-1, pada 30 November lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!