Pondok ibarat PPS tempat berlindung ketika banjir
RANTAU PANJANG - Seorang pengutip buah kelapa sawit membina sebuah pondok khas sebagai ‘PPS’ buatnya dan keluarga berlindung semasa banjir melanda rumah mereka di Kampung Baru Lubok Stol, di sini.
Wanita itu, Rosilawati Idris, 53, berkata, pondok tersebut dibina sejak tiga tahun lalu bersama suami, Mohd Rosli Sulaiman,51, bagi tujuan pemindahan segera apabila berlaku banjir.
Katanya, rumah mereka yang terletak hanya 300 meter (m) dari Sungai Golok itu akan banjir walaupun tidak hujan kerana limpahan air Sungai Golok yang berarus deras dan naik dengan laju.
“Rumah saya ini dua tingkat dengan ketinggian 3.7m dan jika banjir boleh tenggelam hingga 3m, hampir masuk ke ruangan tingkat atas rumah.
“Bahaya kalau saya terus tinggal di dalam rumah, jadi saya berpindah ke pondok dibina di tempat lebih tinggi di tebing jalan sejauh 150 meter di hadapan rumah untuk berlindung,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Lubok Stol, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, pondok tersebut diperbuat daripada kayu-kayu terbuang dan papan lapis sebagai dindingnya manakala atap pula daripada zink yang dibeli dengan harga RM200.
Kata Rosilawati, mereka akan tinggal di dalam pondok itu selama paling kurang dua hingga tiga minggu sambil menunggu air surut dan keadaan kembali selamat untuk kembali ke rumah.
“Kawasan ini berada di tengah-tengah dan akan terkepung jika berlaku banjir besar antara Kampung Rambutan serta Lubok Stol.
“Keadaan di sini selamat kerana saya bersedia dengan bekalan makanan selain bantuan daripada penghulu kampung dan rondaan pasukan keselamatan seperti polis serta bomba di kawasan ini,” katanya.
Ujar wanita itu, apabila habis musim banjir dan pulang ke rumah, dia akan mengunci kemas pondoknya itu dan hanya akan digunakan semula pada banjir-banjir seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!