Covid-19: Tiada arahan wajibkan semua dapatkan dos penggalak: Fahmi
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiada arahan atau kewajipan untuk seluruh rakyat Malaysia mengambil suntikan dos penggalak vaksin susulan peningkatan kes Covid-19, seperti yang tular di media sosial ketika ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) buat masa ini, hanya menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin Covid19, terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.
"Ini sedikit salah faham yang berlaku akibat media sosial, sebelum kita sebar maklumat, tolong pastikan kandungan sebenar, kadang-kadang antara tajuk dan isi kandungan dia agak berbeza, dan saya sarankan supaya kita teliti dahulu (kandungan),” katanya kepada pemberita di Wisma Bernama pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Xinhua yang turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama (yang juga menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif), Nur-ul Afida Kamaludin.
Turut hadir, Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai.
Fahmi berkata, beliau juga akan bertemu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi menyarankan beliau untuk mengadakan perjumpaan dengan ketua pengarang akhbar dan media di negara ini, dalam memperjelas isu berkaitan dos penggalak tersebut.
Berhubung isu dakwaan bahawa warganegara China yang menyertai dan mendapat pas bagi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) layak mendapat status penduduk tetap (PR) negara ini, Fahmi berkata perkara itu hanyalah fitnah dan tohmahan tidak berasas, yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.
Fahmi berkata, adalah jelas dan nyata bahawa sesiapa pun yang ingin mendapat kewarganegaraan Malaysia, perlu melalui proses dan saringan ketat.
"Kerajaan akan jamin keadaan terkawal dan tidak mudah untuk kita dengan begitu sahaja menyerahkan atau mengurniakan status kewarganegaraan, kepada sesiapa sekali pun," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media kononnya seorang menteri didakwa membuat pengumuman bahawa, warganegara China yang menyertai dan mendapat pas bagi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), layak mendapat status penduduk tetap (PR) negara ini.
Dilapor, Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin membuat kenyataan itu di aplikasi X, selepas mendakwa 'mendengar cerita' mengenai perkara itu.
Fahmi berkata, beliau kesal kenyataan itu dibuat Pengerusi PAC sendiri, yang mempunyai kuasa dan hak untuk memanggil dan mendapatkan penjelasan di Parlimen, namun gagal berbuat demikian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!