Guardiola teruja bawa City ke Arab Saudi
PEP Guardiola meluahkan rasa teruja untuk membawa Manchester City beraksi dalam saingan Piala Dunia Kelab di Arab Saudi minggu ini.
The Citizens bagaimanapun tampil ke kejohanan itu dengan prestasi tidak menentu apabila kehilangan mata dalam lima daripada enam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk berada di tempat keempat.
Meskipun City diikat 2-2 di laman sendiri oleh Crystal Palace pada Sabtu lalu, Guardiola tetap optimis prestasi buruk dalam saingan domestik tidak menjejaskan aksi anak-anak buahnya.
“Kami mahu bermain dalam (Piala) Dunia Kelab dan untuk pergi ke sana, anda perlu memenangi Liga Juara-Juara.
“Saya sangat gembira dan teruja untuk ke sana dan cuba memenanginya. Itu saja,” ujar Guardiola.
Kunjungan City ke Arab Saudi itu menyaksikan mereka akan menentang Urawa Red Diamonds dari Jepun dalam aksi separuh akhir awal pagi Rabu dan aksi final atau penentuan tempat ketiga akan berlangsung tiga hari kemudian.
Guardiola menjelaskan aksi dalam saingan domestik berbeza kerana bagi memenangi perlawanan ia bergantung kepada para pemain ketika di atas padang.
“Biarpun kami mengawal perlawanan dengan baik, namun ia belum cukup untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan. Apa sahaja keputusan ia harus diterima,” katanya.
Sebelum aksi Sabtu lalu, City seri 4-4 dengan Chelsea, 1-1 dengan Liverpool dan 3-3 dengan Tottenham Hotspur serta kalah 0-1 kepada Aston Villa sebelum menang 2-1 di Luton.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!