YOSM harap lantikan senator martabat suara masyarakat Siam
SUNGAI PETANI - Yayasan Orang Siam Malaysia (YOSM) mengharapkan Ahli Dewan Negara yang dilantik mewakili kaum itu dapat menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan sekali gus memartabatkan suara masyarakat Siam seluruh negara.
Pengerusi YOSM, Datuk Siw Chun Eam berkata, senator yang dipilih juga perlu memainkan peranan membela nasib dan beri perhatian kepada 60,000 masyarakat Siam yang ada di Malaysia ketika ini.
Menurutnya, pelantikan itu juga harus diteliti dari segi latar belakang dan pengalaman agar amanah dan tanggungjawab digalas benar-benar dapat dilaksanakan dalam usaha mendekatkan kerajaan dengan akar umbi.
"Satu kerusi saja (diperuntukkan kepada kaum Siam) kalau nak ambil, tengok dulu latar belakang... jangan dapat jawatan baru muncul, kita mengharapkan Kerajaan Madani teliti betul-betul (pelantikan senator)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang sempena Ulang Tahun yang ke-26 YOSM di sini pada Ahad.
Hadir sama merasmikan majlis, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Bau Wong Bau Ek.
Jelas Siw Chun, antara empat teras YOSM termasuk memartabatkan bidang pendidikan, kebudayaan dan kesenian, bahasa ibunda dan aspek kebajikan.
Beliau dalam masa sama turut berbangga apabila Bau Wong yang merupakan wakil rakyat Siam pertama dipilih rakyat selain menjadi wakil pembangkang pertama dilantik dalam kalangan masyarakat Siam di Malaysia.
Sementara itu, Mohammed Taufiq merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang membuktikan golongan itu juga mampu berjaya setanding masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Dalam majlis berkenaan, seramai 60 pelajar cemerlang SPM dari empat buah negeri di utara Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak diraikan selain diberi sumbangan cenderahati.
Pelajar terbaik, Tan Shan Qi, 18, berketurunan Siam memperolehi 10 A dalam SPM 2022 diumumkan paling cemerlang yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!