Ubah belukar jadi kebun komuniti

Mohamad (tiga dari kanan) pada lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat di sini pada Isnin.
Mohamad (tiga dari kanan) pada lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat di sini pada Isnin.
A
A
A

HULU KELANG - Pesara termasuk veteran tentera diseru menjayakan usaha pertanian bandar bagi manfaat tanaman selain dapat mengisi masa lapang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad berkata, banyak belukar dipenuhi tumbuhan liar dan boleh diubah menjadi kebun komuniti yang turut dapat membantu aspek sekuriti makanan.

Menurutnya, modul tersebut telah dilaksanakan di Jepun apabila penanaman padi dijalankan dalam skala kecil dalam sesebuah komuniti.

"Banyak tanah atau belukar yang boleh diusahakan. Jangan biar tanah belukar terbiar di tengah bandar.

"Dari segi tenaga, ia boleh diisi dengan orang pencen untuk terlibat dalam kebun komuniti. Ini telah dilakukan di Jepun dan mereka buat secara kecil-kecilan dan ada juga yang berskala besar," katanya pada lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat di sini pada Isnin.

Mohamad (tengah) pada lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat di sini pada Isnin.
Mohamad (tengah) pada lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat di sini pada Isnin.

Kebun tersebut diusahakan oleh Kelab Kebun Rumah Pangsa AU Taman Keramat sejak September 2015 dengan terdapat lebih 150 jenis tanaman termasuk ulam-ulaman, nangka, durian dan mangga.

Mohamad berkata, kebun komuniti tersebut boleh dijadikan panduan untuk disebar luaskan ke kawasan bandar dan pinggir kota termasuk Gombak dan Selayang selain Shah Alam, Subang Jaya serta Petaling Jaya.

Artikel Berkaitan:

"Saya gembira apabila kebun komuniti berada di pinggir bandar kerana banyak tanah kosong menjadi belukar.

"Kadang kala ada kawasan itu dicadangkan mahu dinaikkan perumahan tapi terbiar lebih tiga tahun kerana menunggu kelulusan proses permohonan.

"Tempoh itu sebenarnya boleh digunakan untuk tanaman kontan seperti cili, serai, ulaman serta ternakan," katanya.

Ujarnya, usaha itu dibuat perlu dilebarkan ke seluruh negara dan peruntukan RM1 bilion yang disediakan untuk aktiviti komuniti perlu dimanfaatkan persatuan penduduk untuk projek komuniti termasuk pertanian.

"Kawasan semak antara rumah pangsa juga boleh dijadikan aktiviti tanaman seperti tanam cili memandangkan kebergantuangan import cili tinggi hampir 70 peratus.

"Namun, perlu pastikan tanah diusahakan bersesuaian, dapatkan keizinan kepada pengurusan bangunan selain perlu pastikan lokasi yang dipilih tidak membahayakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!