Selawat & Sing-Along Durioo+ di TV Al-Hijrah pada Februari 2024
SHAH ALAM - Penyedia penstriman selamat untuk kanak-kanak Muslim, Durioo+ akan menayangkan siri istimewa terbaharu ‘Selawat & Sing-Along Durioo+’ menerusi TV Al-Hijrah pada Februari depan.
Pengasasnya, Sinan Ismail berkata, siri tersebut mempunyai 10 episod selawat dan lagu-lagu dirakamkan khas untuk tayangan TV Al-Hijrah sempena cuti sekolah yang memfokuskan siri konten kanak-kanak buat pertama kalinya.
“Ia akan menyediakan peluang untuk ibu bapa mengisi masa tontonan anak-anak semasa cuti dengan pengisian bermanfaat dan membantu mereka mendalami Islam dengan cara menyeronokkan.
"Kami berharap dengan siri baharu ini, lebih ramai kanak-kanak akan luangkan masa cuti sekolah dengan belajar berselawat dengan cara menarik", katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas Hanan, Selawat & Sing Along Durioo+ merupakan tambahan terbaharu dalam rangkaian siri bukan animasi terkenal mereka dan sangat berbeza berbanding dengan siri lain kerana sangat interaktif untuk mengajak anak-anak berselawat dan menyanyi bersama.
Selain menawarkan kandungan berlesen dari studio produksi yang terkenal antaranya PinkFong, Aardman dan Les Copaque, Durioo+ juga memiliki studio produksi yang menghasilkan banyak siri animasi Islam terkenal ditujukan kepada kanak-kanak berumur dua hingga lapan tahun seperti Little Ammar, Mina Mila dan Alif Anis.
Dalam pada itu, Hanan memaklumkan, pihaknya telah menerima kunjungan 15 keluarga daripada pelanggan (subscribers) yang hadir ke Durioo+ Studioo yang terletak di Cyberjaya, Selangor sempena acara Selawat & Sing-Along Durioo+ pada Ahad.
Ujarnya, ia merupakan peluang untuk mereka melihat sendiri suasana Durioo+ dan berjumpa dengan karakter maskot dengan lebih dekat serta melibatkan diri dalam sesi penggambaran siri istimewa bukan animasi terbaru Durioo+.
Katanya, acara itu turut menampilkan Erwan Muhabbain sebagai penyanyi nasyid jemputan sebagai usaha membantu anak-anak lebih mudah meminati bait-bait indah dalam Islam untuk diterapkan dalam kehidupan harian.
“Ini adalah acara julung-julung kalinya diadakan dan juga terakhir yang dianjurkan oleh Durioo+ sebagai penutup tahun 2023 sejak syarikat itu ditubuhkan dua tahun lepas.
“Durioo+ tidak asing lagi dalam menghasilkan banyak siri animasi popular yang ditayangkan di kaca televisyen seperti Little Ammar dan Mina Mila,” ujar Hanan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan info berkaitan siri terbaru itu boleh mengikuti akaun media sosial rasmi Durioo+ seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!