Jangan menyendiri memendam rasa, luahkan derita jiwa
PENDERITA masalah mental yang terdorong untuk melakukan bunuh diri disebabkan oleh sejarah silam yang belum selesai.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Kaunselor dan Pensyarah Psikologi dari Unitar International University, Mohd Al Mahdi Hussain.
Ujarnya, antara punca kes ‘ingin bunuh diri’ disebabkan penderita memiliki ‘unfinished bussiness’ dan membawa ‘dendam’ itu sehingga dewasa lalu memudaratkan dirinya.
“Ada klien saya yang nampak gembira tapi sebenarnya menanggung kesedihan yang berpanjangan (long sad) hingga pernah mencuba mengambil nyawa sendiri. Dari luaran mereka nampak normal, tetapi dalam minda masih ada urusan yang belum selesai. Kian lama derita yang dipendam akan jadi barah lalu mengakibatkan delusi dan keterlaluan memikirkan perkara negatif (overthinking). Syukur alhamdulillah dengan beberapa kali sesi terapi mereka semakin pulih.
Menjelaskan lebih lanjut antara punca unfinished bussiness, Al Mahdi berkata, penderita mungkin pernah didera ketika usia kanak-kanak, diganggu secara seksual, diliwat atau dibuli ketika remaja, ditinggalkan atau diabaikan secara mendadak oleh kekasih (ghosting) dan sebagainya.
Bukan sahaja kisah silam yang menjadi punca kekeruhan emosi, situasi semasa turut menjadi pemicu keserabutan insan malang itu.
“Isu isu perhubungan, percintaan dan pembelajaran banyak melibatkan golongan pelajar, manakala dalam konteks pekerja pula melibatkan pekerja ‘yang kurang gembira’ dengan majikan mereka.
“Penderita yang telah biasa ditinggalkan atau dilukai akan membina satu rasa di dalam dirinya dan berkata tidak mengapa. Namun jauh disudut hatinya dia sudah sukar memberikan kepercayaan kepada sesiapa. Hakikatnya, perasaan ‘tidak mengapa’ itu tidak bagus untuk diri. Sepatutnya anda perlu ikhlaskan untuk tinggalkan perkara silam.
“Apabila penderita berdegil tidak mahu meluahkan masalah yang dihadapi kepada psikiatri atau kaunselor bertauliah, mereka akan didatangi stres, keresahan, simptom-simptom depresi seperti kemurungan (mengasingkan diri), mudah rasa penat dan akhirnya muncul bisikan ‘ingin bunuh diri’
Cipta memori baharu
Al Mahdi menyatakan gejala ‘ingin bunuh diri’ memang mempunyai kaitan dengan kesihatan mental dan peri pentingnya perkara itu diberi perhatian seawal usia pembesaran.
“Ada orang dilahirkan narsisitik (merasa diri hebat). Ada yang mengalami kemurungan melampau), paranoid, dan akhirnya memilih untuk mengambil nyawa sendiri. Justeru daripada awal kesihatan mental memang wajar diberi keutamaan.
“Anak keci dan remaja yang dibuli, dipukul dan dihina sepanjang melalui proses pembesaran akan membawa banyak elemen negativiti dalam dirinya.
Hidup memang tidak selalu indah. Ada waktunya akan disergup kesuraman. Namun tidak bererti kita perlu terus berpatah arang dalam mencipta kebahagiaan.
Demi menjalani hidup yang diinginkan Al Mahdi menyeru umat Islam khususnya agar mengamalkan konsep reda.
“Letakkan sepenuhnya pergantungan harapan kepada ALLAH SWT. Teruskan kehidupan, move on dan cipta sebanyak-banyaknya memori baharu bersama keluarga dan sahabat-sahabat yang banyak menyokong selama ini.
“Buat anda yang ditinggalkan pasangan, ambil inisiatif bertemu bekas pasangan buat kali terakhir. Beritahu diri anda dan dirinya untuk mengakhiri perhubungan itu dengan baik dan padamkan segala foto bersamanya dari telefon anda. Ucapkan selamat tinggal buatnya.
Rakam kenangan baharu bersama pasangan baharu dan juga sahabat yang banyak membantu. Rancang aktiviti menyihatkan seperti mengembara dan membeli belah sebagai terapi diri.
Selain terapi susulan bersama pakar, kesediaan anda yang diuji dengan dugaan itu untuk istiqamah berhijrah diri ke arah kesihatan mental yang lebih sihat adalah tanda anda mengasihi diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!