'Sudah lima hari tidak dapat hubungi keluarga'

Majed (kanan) menerima replika cek daripada Awang Adek (dua dari kiri) di USM pada Isnin.
Majed (kanan) menerima replika cek daripada Awang Adek (dua dari kiri) di USM pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) warga Palestin, Majed FS Habib hanya mengharapkan berita yang disiarkan melalui siaran berita antarabangsa, Al Jazeera untuk mengetahui keadaan terkini di Gaza.

Majed, 44, berkata, sudah lima hari dia tidak dapat menghubungi keluarganya yang kini telah berpindah ke kem pelarian di Rafah iaitu di sempadan Mesir.

Dia yang tinggal di Pulau Pinang sejak lapan bulan lalu berkata, sebelum ini, kesemua keluarganya termasuk ibu, bapa, adik-beradik dan isterinya tinggal di bandar Gaza iaitu Shija'iah.

"Sudah lima hari saya tidak dapat menghubungi keluarga di Palestin dan saya hanya mendapatkan maklumat dan berita di sana melalui Al Jazeera sahaja. Itu sahaja yang mampu saya lakukan.

"Saya berharap agar keluarga saya selamat di sana dan dapat menghubungi mereka dalam masa terdekat.

Lima pelajar Palestin menerima sumbangan RM2,000 daripada USM menerusi Tabung Kecemasan Misi Kemanusiaan Rakyat Palestin.
Lima pelajar Palestin menerima sumbangan RM2,000 daripada USM menerusi Tabung Kecemasan Misi Kemanusiaan Rakyat Palestin.

"Saya hanya ada abang ipar dan isteri sahaja. Ibu saya sudah lama meninggal dunia manakala bapa saya meninggal dunia dua bulan sebelum tercetusnya perang kerana sakit," katanya ketika ditemui di USM pada Isnin.

Majed antara 53 pelajar Palestin dari USM yang menerima sumbangan sebanyak RM2,000 setiap seorang menerusi Tabung Kecemasan Misi Kemanusiaan Rakyat Palestin yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan disampaikan Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Sumbangan berkenaan bertujuan membantu mengurangkan beban pelajar-pelajar Palestin USM yang terkesan dengan pergolakan di Gaza.

Majed yang juga pelajar Ijazah Doktor Falfasah Komunikasi berkata, dia akan menggunakan wang sumbangan tersebut untuk perbelanjaan hariannya berikutan keluarganya tidak mempunyai akses untuk mengirimkan wang kepadanya.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan seharian saya di sini.

"Terima kasih kepada USM, Kerajaan Malaysia dan semua rakyat negara ini yang banyak membantu dan amat prihatin dengan saya selama saya ada di sini," katanya.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Perniagaan, Mahmoud MA Brieka, 28, berkata, setiap hari dia memikirkan keadaan keluarganya yang dahulunya tinggal di Khan Yunis namun kini menjadi pelarian di Rafah.

Menurutnya, dia turut kehilangan 15 ahli keluarga sepanjang 73 hari konflik berlaku antara Israel dan Palestin.

"Saya tinggal di Malaysia sejak tujuh tahun lalu dan kini menyambung pengajian di peringkat tertinggi di sini. Saya akui, setiap hari hati saya tidak tenang memikirkan apa yang berlaku di tempat asal saya.

"Namun, tiada apa yang mampu saya lakukan melainkan berdoa agar Tuhan melindungi keluarga saya di sana.

"Apa yang berlaku di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai dan ia umpama mimpi ngeri buat kami rakyat Palestin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!