Bicara 1MDB: Jasmine Loo akan dipanggil beri keterangan

Jasmine Loo Ai Swan
Jasmine Loo Ai Swan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan akan dipanggil untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, bagi perbicaraan kes jenayah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata demikian ketika prosiding kes penyelewengan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion, di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan).

Ketika prosiding, pihak pendakwaan berkata, keputusan untuk memanggil peguam kontroversi ini dibuat, susulan keterangan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min pada prosiding lalu.

"Wei Min yang juga Ketua Pasukan Siasatan Khas Anti Pengubahan Wang Haram Bukit Aman ketika memberi keterangan telah mengemukakan pendapatnya, berhubung status Jasmine dan maklumat itu telah membuka `jurang' perbicaraan," katanya.

Sequerah kemudiannya berkata, cadangan itu merupakan suatu perkara yang baharu, sebelum menetapkan perbicaraan bersambung 2 Januari tahun depan.

Sebelum ini, Wei Min pernah bersetuju bahawa, keterangan wanita itu mungkin boleh menyelamatkan Najib atau menyebabkan bekas Perdana Menteri ini, disabitkan atas tuduhan jenayah berkenaan.

Katanya, Jasmine juga akan menjadi saksi penting yang boleh mendedahkan isu berkaitan Tanore Finance Corporation, iaitu entiti yang didakwa memindahkan AS$681 juta ke akaun bank bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan.

Pendakwaan mengemukakan keterangan bahawa Tanore dikawal oleh ahli perniagaan Eric Tan Kim Loong, iaitu sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai sebagai Jho Low.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Dalam keterangannya juga, Wei Min berkata, Jasmine dan beberapa bekas pegawai 1MDB bertemu Jho Low dan beberapa bekas pegawai 1MDB di China, lima tahun lalu.

Menurutnya, Jasmine memaklumkan demikian ketika soal siasat, pada Ogos dan September lalu.

Jasmine yang dianggap sebagai pembantu peribadi Jho Low juga dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

Wanita itu ditahan polis pada 7 Julai lalu selepas pulang ke tanah air.

Dalam prosiding ini, mahkamah sepatutnya menyambung perbicaraan dengan mendengar keterangan saksi selanjutnya, Superintenden Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin.

Bagaimanapun, ia ditangguhkan ke tarikh lain selepas saksi tersebut perlu mendapatkan rawatan kerana dijangkiti Covid-19.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan hampir RM2.3 bilion dalam dana syarikat strategik Negara ini, dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!