Tiada layanan istimewa, kawalan ketat atas faktor keselamatan - Polis
IPOH - Kawalan ketat kepada pegawai kanan polis semasa prosiding pertuduhan membunuh seorang pelajar di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin dilakukan bagi tujuan keselamatan, kata Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.
Beliau berkata, dalam perkara itu, tidak timbul isu 'double standard' atau layanan istimewa sepertimana didakwa sesetengah pihak.
"Kes ini hanya melibatkan pesalah biasa, kita tidak anggap pun ianya berprofil tinggi, cuma telah menarik perhatian umum.
"Atas sebab itu perlu ada kawalan yang ketat bertujuan menjaga keamanan dan ketenteraman di mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim ke kediaman keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa di sini pada Isnin.
Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng.
Azizi turut menjelaskan, kawalan dilakukan antaranya keadaan tertuduh diiringi anggota dan kenderaan polis adalah sebahagian prosedur biasa bagi membawa orang kena tuduh (OKT) ke mahkamah.
"Bermula diiringi anggota daripada balai untuk dibawa ke mahkamah seterusnya dihadapkan ke hadapan hakim, itu semua prosedur kawalan biasa," katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan proses siasatan terhadap pegawai berpangkat Deputi Superintenden itu dilakukan secara telus tanpa berselindung sejajar dengan saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
"Kita sudah pun melaksanakan proses pendakwaan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Tertuduh kini ditahan di Penjara Taiping sementara menunggu perbicaraan akan datang," katanya.
Sinar Harian melaporkan, sekurang-kurangnya lima anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri lengkap memakai topeng muka dan berpakaian gelap mengiringi tertuduh sehingga masuk ke kamar mahkamah.
Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu hadir ke mahkamah dengan berpakaian baju T putih dan berseluar hitam.
Kepala dan muka tertuduh turut ditutup dengan sehelai kain hitam dalam keadaan tangan bergari.
Kawalan ketat diberikan sedikit menyukarkan petugas media membuat liputan terutama bagi merakam pergerakan tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kedah itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 12.05 hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau dipenjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!