Tanah runtuh Puchong: Tiada pergerakan tanah signifikan dikesan
SERDANG - Hujan lebat dikhuatiri akan mengakibatkan berlakunya pergerakan tanah sekitar kawasan runtuhan di Taman Wawasan, Puchong dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, bagaimanapun pemantauan sentiasa dijalankan pihaknya bersama beberapa agensi lain terlibat di lokasi kejadian.
"Setakat ini didapati terdapat beberapa takungan air di bahagian bawah runtuhan tanah serta sedikit pergerakan pada pokok-pokok serta jalan tar di kawasan berkenaan.
"Bagaimanapun tiada pergerakan tanah signifikan yang dikesan setakat ini.
"Keadaan cuaca dan hujan lebat kemungkinan boleh menyebabkan berlaku pergerakan lain," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Isnin.
Katanya, pelbagai agensi dan jabatan terlibat sentiasa memantau keadaan di lokasi runtuhan ini.
"Antaranya melibatkan Jabatan Kerja Raya (Bahagian Cerun dan Forensik), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
"Penggunaan dron oleh pihak JMG turut digunakan untuk memantau keadaan tanah serta retakan bangunan rumah-rumah yang berdekatan lokasi runtuhan," katanya.
Menurutnya, pihaknya turut mendapati terdapat longkang monsun berdekatan dengan kawasan runtuhan berkenaan.
"Kejadian tanah runtuh sebelum ini mengakibatkan longkang monsun tersebut kini tersekat dan akan menyebabkan berlakunya takungan air.
"Kita difahamkan pihak berkaitan akan melihat sekiranya ada kaedah digunakan untuk mengalirkan longkang monsun ini supaya terus ke sungai," katanya.
Pada Sabtu, penghuni sembilan buah rumah di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/4, di sini diminta berpindah akibat kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 petang itu turut mengakibatkan empat kenderaan tertimbus.
Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!