Menteri sampaikan amanat, lawat HRD Corp
KUALA LUMPUR - Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bersama Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengadakan lawatan rasmi pertama ke Ibu Pejabat Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di sini, pada Isnin.
Dalam kunjungan itu, Steven turut menyampaikan amanat kepada Jawatankuasa kepimpinan kanan HRD Corp agar dapat bersama-sama memperkasa agenda pembangunan modal insan negara.
"Beliau turut menegaskan kepentingan kementerian dan agensi seperti HRD Corp untuk meningkatkan kemahiran dan menjaga kebajikan pekerja.
"Di samping memperkuatkan keberhasilan program dan inisiatif HRD Corp menerusi usahasama dengan rakan strategik di peringkat domestik dan antarabangsa," menurut kenyataan HRD Corp pada Isnin.
Lawatan ini merupakan kesinambungan daripada siri lawatan Steven ke agensi-agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia sejurus pelantikannya sebagai menteri sumber manusia pada 12 Disember 2023.
Pada kunjungan itu, Steven telah melawat kaunter perkhidmatan pelanggan dan beberapa jabatan penting di HRD Corp.
Menurut kenyataan itu lagi, Steven dan Abdul Rahman juga telah menerima taklimat ringkas mengenai fungsi, inisiatif dan pencapaian HRD Corp sepanjang tahun 2023.
"HRD Corp juga telah berkongsi rekod tertinggi agensi untuk pungutan levi, iaitu sebanyak RM2.2 bilion, bayaran tuntutan sebanyak RM1.4 bilion, tempat latihan sebanyak 2.1 juta dan majikan berdaftar sebanyak 90,000 dengan jumlah 5 juta pekerja," katanya.
Terdahulu, ketibaan Steven dan Abdul Rahman disambut oleh Ketua Eksekutif Datuk Wira Shahul Dawood, yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia Datuk Norison Ramli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!