Bukan warganegara naik bas GoKL dicaj RM1

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenakan caj RM1 bagi setiap perjalanan kepada bukan warganegara yang menggunakan perkhidmatan bas GoKL.

Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan berkata, sistem tersebut akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2024.

Menurutnya, caj tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan empat laluan di sekitar pusat bandar iaitu laluan hijau, ungu, merah dan biru.

"Transaksi pembayaran adalah tanpa tunai iaitu melalui kad Touch&Go, kod QR, kad kredit atau kad debit.

"Sementara bagi warganegara yang menggunakan Mykad mempunyai sistem Touch&Go, adalah dikehendaki membuat pendaftaran tersebut bagi menikmati perkhidmatan percuma," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

29 November lalu, DBKL memaklumkan akan mengenakan caj tambang bas GoKL kepada bukan warganegara secara berperingkat.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi notis arahan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dikongsikan di Facebook DBKL.

Ujarnya, DBKL telah menyediakan kaunter pendaftaran di hentian bas KLCC selain hentian akhir Titiwangsa (Pekeliling) dan Pasar Seni sejak 1 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kaunter tersebut akan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 7 petang bagi memudahkan pengguna mendaftar Mykad bagi menikmati perkhidmatan bas GoKL percuma.

"Petugas DBKL juga akan ditempatkan di dalam bas GoKL terpilih bagi tujuan tersebut.

"Kaunter pendaftaran secara berkala di Lobi Menara DBKL 1 akan dibuka pada setiap Rabu dari jam 9 pagi hingga 4 petang," katanya.

Dalam pada itu Jabatan Perancangan Korporat DBKL berkata, perkhidmatan bas GoKL adalah percuma bagi semua kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi 03 – 2028 2298 (waktu pejabat) atau e-mel kepada jpb@dbkl.gov.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!