Mangsa banjir gelombang kedua di Kelantan terus meningkat

Mangsa banjir di Rantau Panjang dan Pasir Mas terus meningkat kepada 5,401 orang pada Isnin
Mangsa banjir di Rantau Panjang dan Pasir Mas terus meningkat kepada 5,401 orang pada Isnin
A
A
A

RANTAU PANJANG - Walaupun cuaca panas, mangsa banjir di Rantau Panjang dan Pasir Mas terus meningkat kepada 5,401 orang pada Isnin berbanding 4,131 pada hari sebelumnya.

Semua mangsa daripada 1,720 keluarga itu ditempatkan di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pasir Mas.

Sehingga petang, hanya daerah Pasir Mas masih terjejas banjir, manakala satu PPS iaitu Sekolah Menengah Ugama (A) Kajang di Tanah Merah telah ditutup selepas 125 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan pulih.

Keadaan banjir di Rantau Panjang.
Keadaan banjir di Rantau Panjang.

Sebanyak 16 PPS dibuka pada banjir gelombang kedua ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi yang menempatkan 583 mangsa, SK Sri Rantau Panjang (1,192), SK Gual To’Deh (901), SK Kok Pauh (11), SK Gual Sitok (304), SK Lubok Gong (47) dan Masjid Baitul Rahman (9).

Seramai 144 mangsa pula ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Gual Periok, SMK Barol Pial (477), SK Kedai Tanjong (78), SK Gual Periok (511), Madrasah Tasek Bakong (194), Masjid Mukim Padang Licin (255), SK Sri Kiambang (412), SMK (A) Pohon Buluh (44) dan SK Lati (239).

Hasnah
Hasnah

Sementara itu, seorang tukang cuci, Hasnah Sulung, 57, berkata, penduduk akan keletihan setiap kali hujung tahun kerana gelombang banjir datang hingga tiga kali bermula Oktober hingga Februari.

Artikel Berkaitan:

“Saya tinggal di Lubok Jong dan keletihan setiap kali hujan lebat, akan segera mengemas mengangkat barangan untuk disimpan bagi mengelak basah atau hanyut.

“Apabila kering, perlu turunkan semula dan ketika hujan kembali, maka perlu berkemas lagi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!