Orang ramai sebar gambar, kandungan pelajar maut dilanggar berdepan tindakan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai bahawa sebarang perkongsian gambar atau kandungan yang berkaitan kes kemalangan membabitkan seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Meru, Ipoh Jumaat lepas, boleh dikenakan tindakan.

SKMM dalam kenyataan malam ini memaklumkan tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan menekankan tentang kepentingan untuk menghormati mangsa dan keluarga, serta pada masa sama menunjukkan empati yang tinggi.

"Jika telah memuat naik atau berkongsi gambar atau video daripada kejadian berkenaan, orang ramai dinasihatkan untuk menurunkan hantaran atau memadam kandungan berkenaan. Selain itu, semua pihak turut dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan pihak berkuasa,” menurut SKMM dalam kenyataan itu.

Menurut SKMM, perkongsian gambar atau rakaman video mangsa tidak hanya akan melukakan perasaan keluarga mangsa, tetapi juga melanggar prinsip dan etika asas dan setiap individu harus membuat pertimbangan sewajarnya untuk tidak menyebarkan gambar atau kandungan berkaitan tragedi berkenaan.

"SKMM menghulurkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi yang membabitkan seorang pelajar sekolah di Meru, Ipoh,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pada 15 Disember lepas, seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden berusia 44 tahun.

Pegawai tersebut telah didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!