Amaran daripada penghuni rimba

Harimau sebenarnya tidak suka mendekati manusia tetapi jika sebaliknya berlaku kemunculan haiwan karnivor itu pasti ada sesuatu yang tidak kena.
Harimau sebenarnya tidak suka mendekati manusia tetapi jika sebaliknya berlaku kemunculan haiwan karnivor itu pasti ada sesuatu yang tidak kena.
A
A
A

KONFLIK antara manusia dengan hidupan liar seperti harimau belang dan gajah yang sedang berlaku di Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Machang di Kelantan ketika ini merupakan ‘amaran’ dari rimba.

Perkara itu perlu dilihat dengan penuh teliti oleh manusia menggunakan akal fikiran pemberian Tuhan dengan memahami secara tuntas situasi tersebut.

Pembalakan dan pembukaan tanah untuk tujuan pertanian dipercayai menyebabkan hutan yang menjadi ‘kediaman’ hidupan liar itu semakin mengecil.

Sinar Harian pada 16 September lalu melaporkan, seramai 30 Orang Asli dari tiga penempatan di Gua Musang membuat laporan polis mendakwa berlaku pencerobohan tanah berdekatan penempatan mereka yang dikatakan semakin berleluasa sejak tiga bulan lepas.

Mereka mewakili kira-kira 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar yang tinggal di perkampungan Kampung Cedal, Kampung Ber dan Kampung Kerbok dari Pos Ber; serta Kampung Mendrod dan Kampung Haed dari Pos Brooke.

Laporan tersebut dibuat berkaitan isu pembalakan dan perladangan yang dipercayai akan dilaksanakan dalam masa terdekat setelah dimaklumkan oleh wakil syarikat pemaju baru-baru ini.

Melihat kepada situasi itu, tidak hairanlah haiwan liar tersebut berani melanggar ‘hukum’ seekor binatang dengan muncul di khalayak ramai.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memaklumkan, enam kes termasuk lima kematian akibat serangan harimau direkodkan berlaku di Gua Musang dalam tempoh dua tahun bermula Julai 2021.

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu termasuk kes terbaharu melibatkan seorang pekerja ladang getah warga Indonesia yang ditemukan maut 29 November lalu.

Serangan bermula pada 5 Julai 2021 di Kampung Sau, Pos Bihai melibatkan kecederaan parah seorang lelaki Orang Asli dan kemudian berjaya ditangkap.

7 Januari 2022 di Kampung Sau, Pos Bihai, seorang lelaki Orang Asli telah maut dibaham harimau belang dan haiwan itu kemudian terpaksa ditembak kerana cuba menyerang anggota Perhilitan semasa operasi.

Pada 5 Oktober lalu, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau belang.

Seterusnya seorang pekerja ladang warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, maut dibaham harimau di kawasan ladang kebun getah di Kuala Wok, Pos Pasik pada 10 November lalu.

Selang sehari selepas itu, buruh ladang warga Myanmar, Ahka Soe Ya, 22, maut selepas diserang haiwan buas itu ketika sedang menoreh getah di Ladang Meranto pada 12 November lalu.

Penulis sendiri turun ke lokasi penemuan tapak harimau belang di kawasan pembinaan lebuh raya Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab dekat Bukit Bakar, Machang.

Hasil perbualan dengan pekerja di tapak binaan itu, mereka memberitahu selain harimau belang, kawasan tersebut turut didiami oleh harimau bintang.

Kata pekerja di situ, harimau bintang hanya keluar pada hari Jumaat apabila kawasan tersebut tidak beroperasi.

Bagaimanapun, sejak penemuan tapak harimau belang itu, mereka terus berwaspada kerana bimbang menjadi mangsa.

Pada masa sama, penulis turut difahamkan manusia bukanlah mangsa atau makanan kepada harimau.

Harimau sebenarnya tidak suka mendekati manusia tetapi jika sebaliknya berlaku kemunculan haiwan karnivor itu pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Melihat kepada situasi ini, penulis berpandangan, kerajaan negeri Kelantan perlu mengambil langkah serius dengan segera untuk mengatasi masalah tersebut.

Penyelesaian itu perlu dilaksanakan dengan kadar segera dalam meredakan kemarahan haiwan-haiwan liar susulan tangan-tangan nakal yang merosakkan hutan di negeri ini.

Berhentilah memberi alasan, sebaliknya bekerja untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik ini yang memberi kesan besar kepada penduduk di Hulu Kelantan terutama Orang Asli.

* Hazelen Liana Kamaruddin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!