Elak birokrasi, tumpu usaha tarik pelabur asing - Tengku Zafrul
SEMUA kementerian perlu memberi tumpuan terhadap usaha menarik pelaburan dari luar negara dengan mengurangkan birokrasi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tempoh kelulusan pelaburan mesti dipendekkan manakala prosesnya juga perlu dipermudahkan.
Menurutnya, dari segi pelaburan dan perdagangan, hubungan antara Jepun-Malaysia adalah sangat erat berikutan sejarah yang begitu lama.
"Namun demikian ada beberapa cabaran yang perlu tangani supaya lebih banyak pelaburan masuk ke negara kita terutamanya dari Jepun.
"Kita sedang berdepan dengan persaingan dengan negara-negara jiran dan peringkat global.
"Jadi oleh itu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bersama dengan kementerian-kementerian lain perlu memastikan birokrasi ini dikurangkan dan mempercepatkan kelulusan kepada pelabur-pelabur kita," katanya kepada Agenda Awani di Tokyo, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memberitahu, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan RM225 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Menurutnya, pencapaian itu adalah tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Sementara itu katanya, jumlah perdagangan pula mencecah lebih RM2 trilion dalam tempoh yang sama.- Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!