Anggota polis maut ketika bertugas, motosikal elak haiwan liar

Mangsa disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung pada sekitar jam 6.30 petang hari sama. - Gambar hiasan
Mangsa disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung pada sekitar jam 6.30 petang hari sama. - Gambar hiasan
A
A
A

MANJUNG - Seorang anggota polis menemui ajal setelah motosikal yang dinaiki terbabas melanggar tiang Telekom, dipercayai ketika mengelak haiwan liar melintas di Jalan Kampung Cina, Pantai Remis pada petang Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda RS itu terbabit dalam kemalangan ketika sedang menjalankan tugas.

Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung pada sekitar jam 6.30 petang hari sama.

"Pada 18 Disember kira-kira jam 2.35 petang, polis dimaklumkan mengenai kejadian kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang anggota Balai Polis Pantai Remis dipercayai terbabas sendiri di Jalan Kampung Cina, Pantai Remis.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Jalan Kampung Cina ketika anggota polis itu menjalankan tugas bergerak dari pekan Pantai Remis ke Kampung Cina.

"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan semasa mengelak haiwan liar lalu terbabas melanggar tiang Telekom di tepi jalan," katanya dalam kenyataan Isnin malam.

Dalam pada itu beliau berkata, mangsa diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan itu, beliau turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Wan Amiratul Syuhada Wan Zureimy di talian 01116906701. - Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!