Pelakon Marvel didapati bersalah serang bekas teman wanita

Jonathan Majors ketika tiba di Mahkamah Jenayah Manhattan di New York, AS. - Foto Reuters
Jonathan Majors ketika tiba di Mahkamah Jenayah Manhattan di New York, AS. - Foto Reuters
A
A
A

NEW YORK - Panel juri di sebuah mahkamah di New York mendapati pelakon Marvel, Jonathan Majors bersalah atas tuduhan menyerang bekas teman wanitanya awal tahun ini.

Keputusan itu dicapai oleh panel enam juri selepas perbincangan empat jam dalam tempoh tiga hari.

Mahkamah menetapkan 6 Februari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes dan Majors menghadapi hukuman penjara selama setahun.

Sebelum ini Majors menghadapi empat tuduhan menyerang Grace Jabbari yang ditemui tidak sedarkan diri dalam rumah mereka pada 25 Mac lalu.

Dia mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan berkenaan.

Dalam keterangannya di mahkamah, Jabbari mendakwa serangan itu bermula di dalam sebuah kereta selepas mendapati Majors berlaku curang.

Ketika itu, Majors menerima pesanan ringkas dari seorang wanita lain dan apabila Jabbari cuba mengambil telefon bimbit tertuduh, dia telah diserang beberapa kali.

Jabbari mendakwa dia juga ditarik masuk ke dalam kereta selepas cuba melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Namun peguam Majors, Priya Chaudhry mendakwa Jabbari yang menyerang Majors di dalam kereta berkenaan selepas mendapati baju Majors terkoyak.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan Jabbari berlari ke arah Majors selepas tertuduh keluar dari kereta berkenaan.

Kad kredit Majors juga didapati digunakan Jabbari di sebuah kelab malam untuk membeli alkohol selepas insiden dalam kereta itu berlaku.

Majors dikatakan telah tidur di sebuah hotel selepas meninggalkan kereta berkenaan dan apabila pulang ke rumahnya pada keesokan hari, dia mendapati Jabbari tidak sedarkan diri dan terus memanggil 911. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!