Morales penggempur baharu Harimau Malaya

Romel Morales
Romel Morales
A
A
A

PENYERANG Kuala Lumpur City (KL City) FC, Romel Morales sah pemain naturalisasi baharu negara apabila dia dipanggil oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon bagi menjalani kem latihan pusat bermula Selasa depan.

Sebelum ini, KL City berusaha untuk membantu Morales mendapatkan status naturalisasi apabila pemain kelahiran Colombia itu sudah beraksi di Liga Malaysia untuk tempoh lima tahun.

Kehadiran Morales nyata satu tambah nilai terbaik selain reputasi pemain berusia 26 tahun itu untuk tampil sebagai penggempur berbisa buat skuad negara di Piala Piala Asia 2023 di Qatar pada 12 Januari depan.

Dalam pada itu, Pan-gon turut menyenaraikan semula tiga lagi pemain dalam skuad kali ini iaitu dua pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syamer Kutty Abba dan Natxo Insa serta pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee.

Beliau turut mengekalkan seramai 22 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan lalu.

Dua pemain yang digugurkan pula ialah Sharul Nazeem Zulpakar dan Azam Azmi Murad selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan.

Selain itu, 19 pemain diletakkan dalam senarai bersedia termasuk tonggak JDT, Muhamad Feroz Baharudin dan Nathaniel Shio Hong Wan serta pemain SJK Seinajoki FC, Nooa Laine.

Bagi saingan Piala Asia 2023 di Qatar nanti, Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.

Artikel Berkaitan: