BoBoiBoy bawa pelancong 'kembara ke angkasa' di Langkawi

Satu episod khas 'BoBoiBoy Kembara ke Angkasa' akan ditayangkan di Langkawi SkyDome dalam format unik.
Satu episod khas 'BoBoiBoy Kembara ke Angkasa' akan ditayangkan di Langkawi SkyDome dalam format unik.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Animonsta Studios (MONSTA) bekerjasama dengan syarikat pengendali kereta kabel SkyCab, Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi) membawakan BoBoiBoy untuk menghibur pelancong semasa musim percutian sekolah ini di Langkawi.

Lebih menarik, satu episod khas 'BoBoiBoy Kembara ke Angkasa' akan ditayangkan di Langkawi SkyDome dalam format unik iaitu projeksi imej 3-Dimensi 360 darjah, menggunakan dua belas projektor berteknologi tinggi yang akan menghiburkan penonton dengan pengalaman visual yang memukau.

Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, Langkawi SkyDome, pusat rekreasi seumpamanya di rantau ini, menjanjikan pertunjukan yang tiada tandingan dan bakal mengujakan para pengunjung.

Beliau berkata, gabungan dua syarikat tempatan ini diharapkan bakal berjaya mempromosikan tarikan terbaharu SkyCab Langkawi kepada kanak-kanak yang sedang bercuti serta para peminat animasi BoBoiBoy yang bukan sahaja terdiri dari rakyat Malaysia, malah dari seluruh rantau Asia dan global.

"Watak BoBoiBoy yang mesra kanak-kanak dan mesra pengguna diyakini akan mampu mempromosikan sektor pelancongan di Malaysia dengan mengajak lebih ramai pengunjung luar untuk datang ke destinasi terbaik di negara kita.

"Kita berharap kerjasama ini bakal menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Pulau Langkawi, pulau mutiara kita, dan juga menjadi batu loncatan untuk BoBoiBoy menjadi ikon pelancongan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, adiwira cilik BoBoiBoy kini sudah beraksi selama 12 tahun, dan syarikat amat berbangga dengan kolaborasi ini kerana BoBoiBoy merupakan satu jenama yang terkenal di rantau ini.

Para pengunjung boleh menaiki kereta kabel yang dihiasi lakaran BoBoiBoy di SkyCab, menonton episod khas ‘BoBoiBoy Kembara ke Angkasa’ di SkyDome dan membeli barangan eksklusif keluaran MONSTA dan Panorama Langkawi di lokasi pelancongan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Siri terbaharu ‘BoBoiBoy Galaxy SORI’ menemui para penonton di seluruh rantau Asia menerusi platform penstriman popular NETFLIX dan MONSTA YouTube Channel, serta di saluran televisyen TV9. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!