Covid-19: Rakyat Johor diminta jaga kesihatan
JOHOR BAHRU - Rakyat di negeri ini diminta untuk menjaga kesihatan susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Lee Tian Soon berkata, keadaan tersebut dilihat agak membimbangkan kerana ia merekodkan sejumlah 673 kes di negeri ini pada minggu lalu.
"Bagi tempoh 11 hingga 17 Disember 2023, sebanyak 673 kes dilaporkan di negeri ini. Secara keseluruhannya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak enam kali berbanding minggu lalu.
"Oleh itu, semua pihak dinasihatkan agar menjaga kesihatan dengan kerap mencuci tangan menggunakan sanitizer mahu pun sabun selain mengamalkan pemakaian pelitup muka (face mask)," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi aplikasi TikTok pada Selasa berhubung peningkatan kes Covid-19 yang merekodkan 2,696 kes minggu lalu di seluruh negara minggu lalu selain 673 kes di Johor.
Dalam pada itu, Tian Soon turut menasihatkan orang ramai terutamanya golongan berisiko sentiasa mengambil berat berhubung penjagaan kesihatan diri.
Beliau, perkara tersebut juga perlu diberikan perhatian oleh golongan yang menghidap penyakit kronik agar tidak dijangkiti virus maut itu.
"Seperti yang saya katakan tadi, semua pihak perlu menjaga kepentingan kesihatan peribadi ketika ini.
"Antaranya dengan kerap mencuci tangan serta memakai pelitup muka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!