Mahkamah kesal, keputusan kes hendap jurugambar wanita ditangguh esok
SHAH ALAM - Mahkamah Majistret di sini kesal dan terlepas pandang untuk mengeluarkan permohonan perintah kehadiran (OTP) pesalah bagi kes menghendap seorang jurugambar wanita, bagi prosiding jatuh hukum pada Selasa.
Majistret, Sasha Diana Sabtu berkata demikian selepas mahkamah dimaklumkan, Mohamad Safiq Rosli, 37, masih berada di penjara.
Ini menyebabkan sesi mitigasi dan keputusan sabitan yang sepatutnya diketahui pada Selasa, ditangguhkan ke Rabu.
"Bagaimanapun, saya menghargai kehadiran semua pihak dan kes ini akan dipanggil semula esok," kata Majistret itu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas berkata, pihak pendakwaan difahamkan tertuduh tidak dibawa ke mahkamah.
"Kami diberitahu oleh jurubahasa, tertuduh itu hanya akan dibawa pada pagi esok, jadi kami mohon prosiding ini ditangguh bagi fakta kes dan hukuman," katanya.
Pada 10 Ogos lalu, mahkamah memerintahkan tertuduh yang juga seorang bekas pereka sambilan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan supaya lelaki itu dihantar ke hospital mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Mengikut pertuduhan, Mohamad Safiq mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, secara berulang, dengan menghantar komunikasi menggunakan akaun di aplikasi X, "@sopert99" kepada mangsa di akaun "@ShaFoShizzle", yang telah dibaca di sebuah rumah di daerah ini pada 15 hingga 21 Julai lalu.
Tertuduh yang kini menganggur, sepatutnya mengetahui bahawa gangguan terbabit boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 507A (3) kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, dia disabitkan atas kesalahan tersebut selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika prosiding sebutan kes, Jumaat lalu.
Pada prosiding sama, Zilfinaz memohon mahkamah merujuk kepada Seksyen 347 dan 348 Kanun Tatacara Jenayah selepas menerima laporan perubatan psikiatri tertuduh.
Laporan perubatan didapati, terdapat ketidakwarasan terhadap tertuduh, tetapi menurut pegawai perubatan, tertuduh layak dibicarakan dan membuat pengakuan.
Ini bermakna perbicaraan penuh boleh dijalankan meski pun tertuduh mengaku bersalah.
Mahkamah kemudian menerima pengakuan bersalah Mohamad Safiq dan pihak pendakwaan memohon tarikh baharu bagi fakta kes serta hukuman.
Sasha Diana menetapkan Selasa ini untuk tujuan tersebut.
Mohamad Safiq merupakan individu pertama didakwa di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan selepas akta tersebut dikuatkuasakan pada tahun ini.
Turut hadir, peguam, Fithril Hakim Ab Jalil mewakili tertuduh sementara peguam pemerhati, Jason Wee bagi pihak mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!