[VIDEO] Penduduk Rantau Panjang desak bina terowong atasi banjir termenung

A
A
A

RANTAU PANJANG - Penduduk di sini mendesak kerajaan supaya membina terowong khas bagi mengelakkan banjir termenung terus membelenggu mereka setiap kali Monsun Timur Laut (MTL).

Penduduk mendakwa, sejak Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dibina, lebih 10 kampung di sini terpaksa berdepan dengan banjir yang lama serta air mencecah sehingga 7 meter.

Ahli Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang, Mohd Ariffin Ismail berkata, setiap kali musim tengkujuh mereka terpaksa berulang-alik ke pusat pemindahan sementara (PPS) lebih tiga kali.

Setiap kali banjir penduduk perlu berpindah sehingga tiga kali ke PPS.
Setiap kali banjir penduduk perlu berpindah sehingga tiga kali ke PPS.

"Kami menjadi orang pertama dan terakhir yang akan ke PPS.

"Ini bukan sahaja mengganggu kehidupan harian tetapi memberi kesan terhadap kesihatan serta harta benda," katanya semasa sidang akhbar selepas mengadakan bantahan aman di To'Deh di sini pada Selasa.

Menurutnya, memikirkan derita yang dialami itu, penduduk berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membina sebuah terowong khas bagi memberi laluan kepada air banjir.

Penduduk mendakwa sejak PLSB Sungai Golok dibina, lebih 10 kampung terpaksa berdepan dengan banjir yang lama serta air mencecah sehingga 7 meter.
Penduduk mendakwa sejak PLSB Sungai Golok dibina, lebih 10 kampung terpaksa berdepan dengan banjir yang lama serta air mencecah sehingga 7 meter.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sebelum ini mereka pernah meminta pembetung air dibina dan ia ditunaikan oleh kerajaan.

Katanya, pembinaan tersebut berjaya menyelesaikan masalah yang sedang berlaku, namun ia tidak dapat menampung air banjir yang banyak jika taburan hujan lebat.

Penduduk mengadakan bantahan aman di To'Deh, Rantau Panjang pada Selasa.
Penduduk mengadakan bantahan aman di To'Deh, Rantau Panjang pada Selasa.

"Disebabkan itu kami minta terowong air dibina atau menambah lima lagi pembetung air di beberapa kawasan" katanya.

Seorang lagi penduduk, Mustafa Daud berkata, isu itu perlu dipandang serius kerana setiap kali banjir berlaku 50 daripada 56 rumah di Kampung Tersang ditenggelami sepenuhnya oleh air sedalam 6 meter.

Ujarnya, rumah penduduk sudah dibina tinggi, namun masih tetap tenggelam.

"Saya sendiri mengalami kerugian lebih RM20,000 semenjak banjir termenung ini melanda.

"Kami sudah penat melalui keadaan ini kerana sebelum PLSB dibina banjir hanya mengambil masa dua hingga tiga hari, air sudah surut," katanya.

Penduduk Rantau Panjang mendesak kerajaan supaya membina terowong khas bagi mengelakkan banjir termenung terus membelenggu mereka setiap kali Monsun Timur Laut (MTL).
Penduduk Rantau Panjang mendesak kerajaan supaya membina terowong khas bagi mengelakkan banjir termenung terus membelenggu mereka setiap kali Monsun Timur Laut (MTL).

Bagi Che Rahmah Awang, 73, setiap kali banjir dia perlu berpindah sehingga tiga kali ke PPS.

Katanya, banjir yang berlaku kadang kala berlarutan sehingga sebulan sehingga menyebabkan PPS dianggap sebagai rumah keduanya.

Keadaan itu membuatkan dia penat berkemas, selain bimbang memikirkan keadaan rumah yang semakin uzur disebabkan terlalu lama ditenggelami air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!