200,000 pengguna di Barat Daya, Seberang Perai alami gangguan bekalan air
PERAI - Kira-kira 200,000 pengguna air di Barat Daya (bahagian pulau) dan Seberang Perai (kawasan seberang) akan mengalami gangguan bekalan air bermula Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, gangguan itu berikutan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah.
Menurutnya, penutupan tersebut bagi memudahkan kerja kimpalan bawah air untuk membaiki kerosakan pada saluran paip berkenaan.
"PBAPP akan menghebahkan senarai kawasan yang terjejas dalam masa terdekat. Gangguan bekalan air tidak berjadual ini berlaku kerana kejadian yang tidak dijangka ini.
"Oleh itu, PBAPP tidak dapat memberikan notis awal berhubung gangguan bekalan air. Orang ramai dinasihatkan menyimpan air untuk kegunaan harian pada jam 12.30 tengah malam tadi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, PBAPP sedang melaksanakan pelan tindak balas kecemasan untuk membaiki saluran paip air pada dasar tersebut.
"Saluran paip air itu merupakan saluran paip utama yang menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air Sungai Dua ke saluran paip ketiga dasar laut ke pulau.
"Saluran itu menyalurkan air dari Butterworth di tanah besar hingga ke kawasan Macallum di kawasan pulau. Saluran paip pecah itu dikesan kira-kira jam 8.26 pagi semalam," katanya.
Pathmanathan berkata, PBAPP telah melantik pakar kontraktor yang berpangkalan di Port Klang untuk menyiasat kejadian itu kerana saluran paip tersebut terletak di dasar sungai, kira-kira 3.5 meter di bawah permukaan sungai.
"Pakar penyelam komersial dari Port Klang tiba di tempat kejadian petang semalam lalu menjalankan tugas pada jam 10.30 malam.
"PBAPP telah membuat kawalan injap untuk mengurangkan aliran air sebanyak kira-kira 75 peratus bagi memudahkan kerja pemeriksaan bawah air," katanya.
Tambahnya, pemeriksaan awal mendapati, penyelam telah menemui lubang berukuran kira-kira 20 x 30 sentimeter (cm) pada bahagian permukaan saluran paip berkenaan.
"Hari ini, kerja kimpalan oleh pakar dalam air dijadualkan untuk membaiki saluran paip dengan mengimpal plat keluli 60x 60cm di atas bahagian yang pecah. Kerja-kerja kimpalan ini dijalankan di bawah air, kira-kira 3.5 meter (m) di bawah permukaan sungai.
"Kontraktor dari Port Klang akan menentukan masa terbaik untuk memulakan kerja berdasarkan cahaya (untuk penglihatan) dan keadaan sungai (untuk keselamatan)," katanya.
Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, PBAPP memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku.
"Kami akan mengemas kini maklumat terkini di Facebook PBAPP.
"Kami juga akan mengumumkan jangkaan jangka masa gangguan bekalan air sebaik sahaja mendapat komitmen daripada pakar kontraktor yang akan menjalankan kerja-kerja hari ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!