'Atuk penyayang, sering nyanyi lagu Cek Mek Molek' - Cucu M Daud Kilau

Norhasliyana
Norhasliyana
A
A
A

BAGAN DATUK - "Setiap kali telefon, atuk tak pernah lupa dendangkan lagu Cek Mek Molek untuk saya dengar, itu perkara paling dirindui mengenai arwah."

Demikian kata Norhasliyana Hassan, 33, cucu kepada bintang seni tanah air, Allahyarham Datuk M Daud Kilau.

Norhasliyana berkata, sebelum ini meskipun dalam keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan, arwah tetap gembira melayani karenah cucu-cucunya.

Disifatkan sebagai datuk penyayang, arwah juga tidak pernah meninggikan suara dan sentiasa tersenyum mesra setiap kali menyambut kehadiran mereka pulang ke kampung.

"Arwah memang sangat sayang cucu-cucunya, selalu bertanya khabar melalui telefon.

"Kalau atuk telefon, dia akan tanya saya sedang buat apa, lepas tu dia nyanyi lagu Cek Mek Molek untuk saya. Selepas ini saya akan rindukan suaranya dan senyumannya," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Masjid Tuminah Hamidi di sini pada Selasa.

Penyanyi berusia 85 tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah di Hospital Teluk Intan sekitar jam 4.40 petang pada Isnin.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Tuminah Hamidi untuk disembahyangkan, selain memberi ruang kepada ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan memberi penghormatan terakhir.

Artikel Berkaitan:

Norhasliyana (tudung biru) setia di sisi jenazah Allahyarham untuk disembahyangkan di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk.
Norhasliyana (tudung biru) setia di sisi jenazah Allahyarham untuk disembahyangkan di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk.

Norhasliyana berkata, keadaan kesihatan arwah semakin merosot sejak Mac lalu dan kerap keluar masuk wad hospital untuk rawatan.

Kali terakhir dia dapat berjumpa dan berbual bersama Allahyarham ketika menjaganya di wad hospital, Ahad lepas.

Ketika itu arwah sempat mengungkapkan kata maaf dan memaklumkan bahawa masanya untuk 'pergi' telah tiba.

"Dia minta kami mandikan dan kapankan (jenazah) betul-betul. Ketika itu, walaupun rasa pilu mendengarnya, saya tidak mahu terlalu memikirkannya.

"Tak sangka, itulah kata-kata terakhir arwah untuk kami," katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan bersyukur kerana Allahyarham pergi dalam keadaan 'sempurna sifatnya'.

"Atuk sepatutnya menjalani pembedahan kaki semalam (Isnin) akibat jangkitan kuman, tetapi tak dapat diteruskan kerana masalah kesihatan. ALLAH maha mengetahui," katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh selepas solat Zohor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!