FAMA bantu pasarkan 326 tan metrik duku Terengganu

Nukman (tiga dari kiri) melawat tapak cadangan pusat pengumpulan hasil pertanian di Kampung Tanjung Putat pada Selasa.
Nukman (tiga dari kiri) melawat tapak cadangan pusat pengumpulan hasil pertanian di Kampung Tanjung Putat pada Selasa.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu telah membeli 326 tan metrik (MT) duku bernilai lebih RM461,000 daripada 13 pengumpul buah tempatan itu di seluruh negeri ini.

Pengarahnya, Nukman Hashim menyatakan pembelian duku Terengganu pada harga RM1.30 hingga RM2 sekilogram itu bertujuan mengatasi masalah lambakan buah berkenaan selain membantu pekebun menambah pendapatan.

Menurutnya, FAMA melaksanakan intervensi pemasaran secara terus di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun melibatkan 13 pengumpul duku.

"Keseluruhan pengeluaran duku seluruh Terengganu sebanyak 3734.4 MT dengan anggaran nilai berjumlah RM6.72 juta melibatkan keluasan tanaman 831.4 hektar.

"Hulu Terengganu merupakan kawasan pengeluaran utama iaitu anggaran pengeluaran sebanyak 1872.7 MT bernilai RM3.37 juta di tanah berkeluasan 428.6 hektar.

"Selain duku, Hulu Terengganu juga merupakan antara pengeluar utama hasil pertanian dan buah-buahan bermusim," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan pusat pengumpulan hasil pertanian di Kampung Tanjung Putat, dekat sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nukman berkata, pihaknya lebih memberi fokus kepada pasaran luar terutama di Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang musim duku Terengganu pada sekitar September hingga Oktober lalu, kita memasarkan duku dalam purata 10 hingga 12 MT ke Lembah Klang," ujarnya.

Nukman (dua dari kanan) berkata, pusat pengumpulan tersebut bakal memberi manfaat kepada petani setempat dan pemborong sebagai lokasi pengumpulan atau penyusunan semula bakul sebelum dihantar ke lokasi luar Terengganu.
Nukman (dua dari kanan) berkata, pusat pengumpulan tersebut bakal memberi manfaat kepada petani setempat dan pemborong sebagai lokasi pengumpulan atau penyusunan semula bakul sebelum dihantar ke lokasi luar Terengganu.

Dalam pada itu, Nukman berkata, pihaknya merancang untuk mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian di Kampung Tanjung Putat, Hulu Terengganu.

Jelas Nukman, Terengganu tidak mempunyai pusat pengumpulan dan jualan borong khusus serta bersistematik bagi pemasaran hasil duku berkenaan.

Justeru, beliau berkata, pusat pengumpulan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada FAMA dan petani setempat malah melibatkan pemborong luar yang boleh menjadikan pusat berkenaan sebagai lokasi pengumpulan atau penyusunan semula bakul sebelum dihantar ke lokasi luar Terengganu.

"Pusat pengumpulan ini bukan sahaja berfungsi pada musim pengeluaran duku Terengganu tetapi ia boleh berperanan sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian Hulu Terengganu seperti nanas, jagung dan lain-lain.

"Ia juga dijangka dapat memberi manfaat lebih 400 komuniti setempat di Hulu Terengganu terdiri daripada petani, usahawan, pengumpul, orang kampung dan sebagainya," ujarnya.

Sementara itu, seorang pengumpul duku, Alias Ismail, 65, menyambut baik usaha dan cadangan daripada FAMA untuk mewujudkan pusat pengumpulan hasil berkenaan.

"Sebelum ini kawasan kediaman rumah saya dijadikan tempat pengumpulan bagi pekebun di sekitar mukim Tersat.

"Jadi dengan adanya pusat pengumpulan ini memudahkan gerak kerja selain memastikan pemasaran duku itu lebih cepat," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!