Nur Hasifah masih trauma tragedi anak, suami terbakar
KOTA BHARU - Isteri mangsa nahas kereta terbakar di Kilometer 69 Jalan Kota Bharu - Gua Musang pada 27 November lalu masih trauma dan kerap terjaga dari tidurnya selepas kejadian itu.
Nur Hasifah Razni, 25, bagaimanapun reda dengan insiden yang meragut nyawa suami, Wan Sharizat Azwan Wan Sharil, 28, dan bayi mereka berusia tujuh bulan, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat.
Kakitangan di sebuah klinik swasta itu berkata, selepas peristiwa tersebut, dia kerap terjaga jam 4 pagi iaitu waktu sama kejadian berkenaan berlaku.
"Saya tidak dapat melupakan kata-kata arwah suami yang kerap meminta maaf kerana melanggar pembahagi jalan akibat gelap dan tiada sebarang kemudahan yang membantu penglihatannya ketika memandu," katanya ketika menerima lawatan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Nora Yaakob di kediamannya pada Selasa.
Nur Hasifah turut menafikan dakwaan bahawa suaminya mengantuk dan memandu laju ketika dalam perjalanan bersama dua lagi kenderaan saudara terdekat mereka.
"Semua itu tidak benar. Suami saya tidak mengantuk dan memandu mengikut peraturan, malah kami bersama melihat keadaan sekeliling ketika dia sedang memandu," katanya.
Wanita itu juga mengakui masih tidak dapat menaiki kenderaan untuk perjalanan jauh, malah takut jika terlanggar atau melalui jalan berlubang.
Dalam kejadian 27 November itu, Wan Sabeena Arisha rentung selepas kenderaan dinaiki bersama ibu dan bapanya melanggar tiang lampu sebelum terbakar di hadapan sebuah bank di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini.
Suami Nur Hasifah, Wan Sharizat Azwan pula meninggal dunia selepas lapan hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini akibat melecur 80 peratus pada anggota badannya.
Berkongsi perbualan suami sebelum kejadian, Nur Hasifah memberitahu, sebulan sebelum kejadian, Allahyarham selalu berbual mengenai kebimbangannya jika dia 'pergi' dahulu.
"Saya tidak sedap hati apabila arwah kerap bertanya bagaimana keadaan saya dan jika dia tidak sempat membesarkan anak kami," katanya.
Dalam pada itu katanya, suaminya 'pergi' dengan tenang kerana tiada perkara yang membuatkannya terkilan atau bersedih.
"Saya juga reda walaupun pada mulanya mengharapkan keajaiban ketika doktor memaklumkan perkembangan kesihatannya yang tidak memberangsangkan," katanya.
Sementara itu, Nora berkata, Skuad Prihatin membantu balu itu sebaik sahaja mengetahui nahas berkenaan melalui media.
"Hasil pencarian mendapati balu mangsa layak menerima manfaat PERKESO hasil caruman arwah suami," katanya.
Nora memberitahu, Nur Hasifah menerima pencen bulanan sebanyak RM546.98 selain bayaran faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!