Mayat lelaki ditemui terdampar di Sungai Kedah
ALOR SETAR - Mayat lelaki tanpa identiti ditemui polis terdampar di tebing pasir Sungai Kedah berdekatan Restoran Ampang Bay (Ampang Jajar) di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat terbabit ditemui kira-kira jam 9 pagi oleh polis yang membuat pemantauan di sekitar Sungai Kedah.
"Dengan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat Alor Setar, mayat telah dibawa naik dari atas tebingan pasir sungai ke kawasan darat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mayat lelaki yang lengkap berpakaian tanpa identiti pengenalan diri itu dipercayai mangsa hilang yang dilaporkan sebelum ini.
"Ini berdasarkan pengecaman oleh waris mangsa yang turut hadir di lokasi penemuan mayat.
"Mayat kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar Kedah untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan semula sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!