MAIK catat kutipan korporat lebih RM36 juta
KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mencatat kutipan zakat korporat lebih RM36 juta bermula 1 Januari tahun ini sehingga Isnin.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding keseluruhan lebih RM34 juta pada tahun lalu.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kesedaran rakyat negeri ini untuk membayar zakat korporat berada pada paras agak baik dan MAIK sentiasa berusaha memupuk kefahaman kepada mereka supaya terus melunaskan kewajipan.
“Pelbagai aktiviti promosi dibuat bagi menarik pembayar-pembayar baharu dalam kalangan syarikat-syarikat korporat untuk membayar zakat kepada MAIK dari tahun ke tahun.
“Setakat ini, MAIK melepasi kutipan zakat berbanding tahun lepas dan masih ada beberapa hari lagi untuk bayaran zakat dibuat pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Pembayaran Zakat Korporat di Pejabat MAIK di sini pada Selasa.
Dalam majlis itu, tiga syarikat korporat iaitu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) membayar zakat berjumlah lebih RM1.1 juta, Lembaga Jurukur Tanah (RM1 juta), Angkatan Koperasi Kebangsaan (RM130,493) dan satu syarikat persendirian, AnaZahra OEM sebanyak RM1 juta.
Menurut beliau, pengagihan zakat yang dibayar kepada MAIK dibuat pengagihan kepada asnaf yang bukan sahaja untuk meringankan beban mereka tetapi juga menyasarkan supaya golongan itu keluar daripada garis kemiskinan.
Katanya, untuk mencapai hasrat itu, MAIK memberi membantu kepada generasi kedua atau anak-anak asnaf melalui pendidikan seperti Bantuan Melanjutkan Pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi.
“Setakat ini, daripada jumlah 10,000 asnaf, MAIK dapat turunkan kepada 8,000 asnaf, bagaimanapun, kami masih tidak berpuas hati kerana ramai lagi yang perlu dibantu.
“Kami melakukan pemutihan setiap tiga tahun untuk mengenal pasti asnaf yang dapat dikeluarkan daripada kemiskinan dan yang pasti generasi kedua tidak melalui keadaan seperti ibu bapa mereka dengan bantuan tabung pendidikan yang diberikan oleh MAIK,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!