Rafizi pelawa pihak yang ingin cabar dirinya sertai podcast ' Yang Bakar Menteri'

Rafizi - Foto Bernama. Hantaran Rafizi di aplikasi X pada Selasa.
Rafizi - Foto Bernama. Hantaran Rafizi di aplikasi X pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempelawa mana-mana pihak ingin mencabar dirinya supaya menyertai siaran podcast ' Yang Bakar Menteri (YBM)' yang dijangka akan bermula pada 8 Januari depan.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, podcast yang akan bersiaran setiap dua minggu itu terbuka kepada sesiapa sahaja termasuk ahli akademik, penyokong kerajaan, rakyat dan aktivis maya atau 'cyber activist' pembangkang.

Ujarnya, terdapat pelbagai reaksi diterima susulan tindakan beliau melayan kandungan aktivis maya dengan sebahagian besarnya menyokong, manakala segelintir pula merasakan seorang menteri tidak boleh bersuara.

"Ada dua jenis yang berhujah menteri tidak boleh bersuara. Pertama, mereka yang merasakan menteri mestilah menjaga standard sendiri dan tugas menjawab serangan aktivis maya ini adalah tugas 'cyber trooper'. Saya rasa mereka kebanyakannya daripada kalangan pengundi atas pagar.

"Kedua, kumpulan yang menjawab 'menteri tumpu buat kerja menteri', seolah-olah memberi pencerahan itu bukan tugas menteri. Pada pemerhatian saya, kebanyakan yang berhujah begini adalah aktivis maya pembangkang.

"Namun secara keseluruhannya, majoriti reaksi di media sosial menyokong langkah menangani dakyah pembangkang ini secara berdepan," katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Selasa.

Pada Jumaat lalu, Rafizi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar seorang pempengaruh yang menggelarkan diri sebagai YB Viral untuk berdebat secara langsung supaya kedua-dua pihak dapat berkongsi pandangan dan membentangkan fakta kepada rakyat.

Katanya, YB Viral dipercayai penyokong Perikatan Nasional (PN) telah memainkan sentimen yang tidak memberi gambaran dan perspektif sebenar mengenai sesuatu isu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, tujuan utama beliau memperkenalkan podcast itu untuk menunjukkan wajah sebenar aktivis maya pembangkang yang tidak berani berhujah secara bersemuka, sebaliknya hanya 'berselindung di media sosial.

Tambahnya, medium digital itu dicadang dirakam di sebelah malam tanpa melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan.

"Selain dari mereka yang ingin tampil secara sukarela untuk peluang membakar menteri, saya juga akan mencari aktivis-aktivis maya pembangkang yang banyak memainkan dakyah untuk tampil.

"Saya akan cari mereka, jemput dan beri peluang bersemuka. Mereka berpeluang membakar saya, saya juga berpeluang membakar mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!