Cuaca mendung iringi pengebumian M Daud Kilau
BAGAN DATUK - Cuaca mendung mengiringi pengebumian bintang seni tanah air, Allahyarham Datuk M Daud Kilau di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh dekat sini pada Selasa.
Jenazah penyanyi berusia 85 tahun itu selamat dikebumikan pada jam 2.30 petang dengan kehadiran lebih 200 orang kalangan ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan bagi memberi penghormatan terakhir.
Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Masjid Tuminah Hamidi yang dipimpin Imam masjid, Zulfadil Ismail bersama kira-kira lebih 400 jemaah sebaik selesai solat zohor.
Kenderaan membawa jenazah Allahyarham kemudiannya tiba di tanah perkuburan pada jam 1.55 petang dengan diiringi kereta polis.
Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah di Hospital Teluk Intan sekitar jam 4.40 petang pada Isnin.
Kesihatannya dilaporkan tidak stabil sejak dimasukkan ke hospital itu, minggu lalu.
Pelantun lagu popular Cek Mek Molek itu meninggalkan seorang balu, Datin Rohani Awang Ngah; dua anak, Noraini, 58, dan Ahmad Zaini, 52, bersama sembilan cucu serta dua cicit.
M Daud Kilau atau nama sebenarnya, Muhammad Daud Kilau mula menceburi bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 menerusi lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.
Sementara itu, Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air, Datuk DJ Dave menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar terhadap industri seni tanah air.
Katanya, apabila dimaklumkan keadaan kesihatan Allahyarham kian merosot, yayasan mengambil inisiatif menyalurkan bantuan bulanan sebagai pencen berjumlah RM500 sejak tiga tahun lalu.
"Saya dan Allahyarham sudah kenal sejak 50 tahun lalu. Kami banyak menyanyi dan sepentas bersama.
"Kenangan yang saya tidak akan lupa, arwah ini suka menjahit baju labuci yang dipakainya hatta ketika berada di belakang pentas.
"Beliau akan siapkan juga baju yang dimahukannya. Walaupun beliau boleh sahaja gayakan baju labuci lain, namun demi menghiburkan peminat beliau komited memberikan yang terbaik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!