Tanam getah dapat bantuan perniagaan

Program Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS++) RISDA peringkat negeri Perak di Arena Gerik pada Sabtu lalu meraikan penerima Anugerah Usahawan Jaya RISDA dan Anugerah Ikon Usahawan RISDA Perak 2023 serta Anugerah Pekebun Kecil Sempena 50 Tahun Jubli Emas RISDA.
Program Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS++) RISDA peringkat negeri Perak di Arena Gerik pada Sabtu lalu meraikan penerima Anugerah Usahawan Jaya RISDA dan Anugerah Ikon Usahawan RISDA Perak 2023 serta Anugerah Pekebun Kecil Sempena 50 Tahun Jubli Emas RISDA.
A
A
A

GERIK - Usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (RISDA) menyasarkan untuk memperolehi pendapatan tahunan RM1 juta dalam tempoh empat tahun lagi.

Suffian Tsourie Zakaria, 40, dari Manong, Kuala Kangsar berkata, hasrat itu diletakkan berdasarkan perkembangan perniagaan yang dicapai setakat ini, hasil bantuan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).

Menurut Pengarah Urusan Izach AgriBusiness itu, bantuan AET yang mula diterima pada 2020 menjadikan produktiviti perniagaan santan dan kerisik yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu, melonjak naik hingga mampu memenuhi pasaran di seluruh negeri.

"Saya mendapat suntikan awal menerusi bantuan AET bernilai RM20,000 untuk pembelian mesin diikuti RM10,000 bagi proses pembungkusan.

"Menerusi bantuan itu, saya berjaya meningkatkan hasil pengeluaran daripada RM15,000 sebulan kepada RM60,000 sebulan.

"Sekarang saya dalam proses untuk geran ketiga bantuan RISDA bernilai RM20,000 bagi pengiktirafan persijilan terhadap produk dihasilkan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)," katanya.

Suffian Tsourie menerima Anugerah Usahawan Jaya RISDA Negeri Perak 2023 disampaikan Noraini sempena Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS++) RISDA peringkat negeri Perak di Arena Gerik pada Sabtu lalu.
Suffian Tsourie menerima Anugerah Usahawan Jaya RISDA Negeri Perak 2023 disampaikan Noraini sempena Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS++) RISDA peringkat negeri Perak di Arena Gerik pada Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS++) RISDA peringkat negeri Perak di Arena Gerik dekat sini, Sabtu lalu.

Program menampilkan 23 usahawan bimbingan RISDA Perak terlibat dalam menyediakan gerai jualan daripada pelbagai jenis perniagaan antaranya makanan, kraftangan dan perkhidmatan itu dirasmikan Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mengulas lanjut, penerima Anugerah Usahawan Jaya RISDA Negeri Perak itu berkata, fokus tahun hadapan adalah untuk menambah teknologi mesin pemprosesan agar dapat mencapai purata pendapatan bulanan RM100,000.

"Saya gunakan kesempatan geran yang diperolehi daripada RISDA ini untuk membeli teknologi, secara tidak langsung berupaya meningkatkan penghasilan produk untuk dipasarkan ke pasar raya besar, kedai runcit dan jualan melalui ejen.

"Dengan pasaran produk yang meluas ini, saya percaya harapan untuk mencapai pendapatan tahunan pertama berjumlah RM1 juta dapat dicapai pada 2027," katanya yang berjaya menerima geran RM50,000 menerusi program Risda Groom Big Challenge (RGBC).

Syarikat berkembang 100 peratus

Dalam pada itu, pengusaha syarikat percetakan dan pengiklanan Sign House Advertising, Zuraizah Ramli, 42, tidak menyangka perusahaannya berkembang 100 peratus hasil manfaat bantuan AET.

Zuraizah yang menjadi usahawan bimbingan RISDA sejak 2020 gembira perniagaannya berkembang 100 peratus.
Zuraizah yang menjadi usahawan bimbingan RISDA sejak 2020 gembira perniagaannya berkembang 100 peratus.

Anak pekebun kecil yang membuka perniagaan di Seri Manjung itu berkata, bantuan mesin yang diterima mempercepatkan pengeluaran daripada tempoh 72 jam sebelum ini kepada hanya 23 jam.

Ruang itu membolehkan pihaknya menambah pengambilan tempahan dan permintaan hingga ke pasaran luar negeri.

"Sebelum ini, saya hanya mampu terima tempahan untuk 1,000 hingga 3,000 percetakan, itu pun dapat disiapkan dalam tempoh tiga hari.

"Sekarang dengan kemudahan teknologi dan mesin yang ditambah baik daripada RISDA, saya boleh siapkan 10,000 cetakan dalam tempoh satu hari sahaja," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berhasrat untuk meningkatkan lagi kuantiti pengeluaran dengan menambah mesin menerusi geran RGBC berjumlah RM50,000 tahun hadapan.

"Bantuan RISDA ini sangat-sangat membantu perkembangan perniagaan syarikat saya.

"Potensi baru ini membolehkan saya menambah bilangan pekerja sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat," katanya.

Skim AET yang tersedia ini melibatkan bantuan keseluruhan berjumlah RM45 juta melalui pembiayaan untuk memulakan perniagaan, penternakan dan bantuan khusus mengikut keperluan sehingga RM20,000.

Koperasi terima manfaat berganda

Sementara itu, Program Agromakanan yang disediakan RISDA memberi manfaat kepada Koperasi Pekebun Kecil Daerah Larut Matang Selama Berhad untuk menceburi ternakan lembu dan ayam kampung, tahun ini.

Mahizam menerajui koperasi yang dinaungi 1,700 ahli mengorak langkah ke arah agro makanan.
Mahizam menerajui koperasi yang dinaungi 1,700 ahli mengorak langkah ke arah agro makanan.

Pengurus Besar, Mahizam Omar berkata, di bawah program itu, RISDA meluluskan geran peruntukan bernilai RM300,000 membabitkan 30 peserta koperasi kalangan pekebun kecil getah.

"Ini antara bantuan terbesar pernah diterima daripada RISDA dan untuk program ini, koperasi bertindak sebagai pengusaha dimanja keuntungannya dikongsi bersama peserta secara 50-50," katanya.

Bagi getah pula, beliau berkata, koperasi terlibat dalam tanaman semula dan pembangunan tanah membabitkan kawasan seluas 20 hektar di Batu Kurau, Taiping.

Menurutnya, projek yang baru bermula tahun lalu itu akan melibatkan kerja pembersihan kawasan, penanaman, penjagaan hinggalah hasil.

"Projek ini projek baru dan masih dalam peringkat dokumentasi. Insya-ALLAH dalam tempoh lima tahun lagi projek ini dapat memberikan hasil sekurang-kurangnya RM450,000 sebulan kepada peserta," katanya.

Program agro makanan dilaksanakan secara persendirian atau berkumpulan oleh pekebun kecil dengan nilai bantuan bermula RM20,000 hingga RM 300,000.

Bantuan ini terdiri dalam skop ternakan dan tanaman jangka pendek kontan dan herba yang melibatkan bantuan input pertanian, baka ternakan, infrastruktur dan pemasaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!