300 peniaga Pasar Malam AU2 resah diarah berpindah
KUALA LUMPUR - Hampir 300 peniaga Pasar Malam AU2 Keramat di sini meluahkan keresahan apabila dipaksa berpindah tanpa rela ke tapak baharu bermula Januari tahun depan.
Seorang peniaga, Siti Rokiah ismail, 56, berkata, rundingan oleh badan bertindak bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibuat beberapa kali sebelum ini tidak memihak kepada peniaga.
Menurutnya, cadangan lokasi baharu yang dicadangkan oleh peniaga juga ditolak oleh DBKL yang telah menetapkan tapak baharu di Seksyen 10 Wangsa Maju, kira-kira 15 minit dari tapak asal.
"Banyak lokasi yang dicadangkan sekitar Keramat dan Setiawangsa termasuk berhampiran Rosyam Mart dan AU3, namun semua cadangan tersebut ditolak.
"Sebaliknya kami diarah berpindah ke Wangsa Maju yang kawasan itu jauh dan kurang mendapat sambutan.
"Pasar malam yang dibuat sebelum ini di kawasan sama juga kebanyakan tidak bertahan lama, saya bimbang kami bakal menerima nasib yang sama, " katanya kepada Sinar Harian.
Pada Sabtu, peniaga pasar malam berkenaan telah membuat bantahan meminta DBKL mengkaji semula arahan pemindahan operasi mereka ke tapak baharu
Seorang lagi peniaga, Bahrin Abd Rahman, 62, berkata, peniaga memohon DBKL menangguhkan arahan pemindahan tersebut sehingga menemui jalan penyelesaian yang menguntungkan kedua belah pihak.
"Kita tahu pemaju minta DBKL uruskan pemindahan ini memandangkan projek perumahan mereka sudah siap namun tidak wajar periuk nasi kami diganggu.
" Kami telah berniaga di sini selama 30 tahun. Tidak mudah untuk bangunkan pasar malam besar yang mempunyai ramai pengunjung seperti ini. Jika berpindah, tidak mungkin akan ada pasar malam yang meriah seperti ini," katanya.
Seorang lagi peniaga, Ismadi Mohd Zin, 55, berkata, terdapat cubaan sebanyak dua kali untuk memindahkan peniaga di kawasan itu pada tahun ini.
"Peniaga tiada pilihan, jika tidak berpindah ke lokasi baharu, permit niaga kami tidak akan disambung.
"Harap wakil rakyat bantu kami. Kami gunakan kawasan ini untuk berniaga seminggu sekali, hanya pada Sabtu jam 4 petang hingga 10 malam. Mohon DBKL ada budi bicara," katanya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada DBKL berhubung isu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!