Lembu tak 'bertuan' bahayakan nyawa!

Sebuah kereta rosak teruk selepas terlibat dengan kemalangan yang melibatkan lembu tidak bertuan di Rantau Panjang. (Gambar kecil: Mohd Nasran)
Sebuah kereta rosak teruk selepas terlibat dengan kemalangan yang melibatkan lembu tidak bertuan di Rantau Panjang. (Gambar kecil: Mohd Nasran)
A
A
A

RANTAU PANJANG - Tindakan segelintir pemilik lembu yang gemar melepaskan haiwan berkenaan sehingga menyebabkan berlaku kemalangan di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang disifatkan sebagai tidak bertamadun.

Presiden Pertubuhan Infra Rantau Panjang (Infra Rantau Panjang), Mohd Nasran Nasuha berkata, tindakan itu bukan sahaja merbahaya malah boleh meragut nyawa pengguna laluan tersebut sekiranya berlaku kemalangan.

"Ini bukan masalah baru, malah ia seolah-olah sudah menjadi barah buat penduduk dan pengguna laluan Pasir Mas-Rantau Panjang.

"Kelmarin berlaku satu kemalangan melibatkan lembu-lembu terbiar ini berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang. Walaupun tiada kemalangan jiwa, namun ia pasti meninggalkan kesan mendalam buat mangsa," katanya.

Menurutnya, beliau amat kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pemilik lembu-lembu itu yang tanpa segan silu melepaskan haiwan mereka tanpa sebarang kawalan.

Katanya, tindakan itu secara tidak langsung memberikan kesan negatif kepada imej Rantau Panjang termasuklah negeri ini.

"Nak salahkan lembu tidak adil. Hal ini kerana haiwan itu tidak mempunyai akal untuk berfikir.

Artikel Berkaitan:

Lembu menjadi mangsa penternak yang tidak bertanggungjawab.
Lembu menjadi mangsa penternak yang tidak bertanggungjawab.

"Jadi pemilik lembu yang dikurniakan akal perlulah bertindak bijak dengan mengurung haiwan itu di dalam kandang. Barulah betul," katanya.

Nasran berkata, masalah itu akan terus berlaku sekiranya pemilik-pemilik lembu tidak membantu dengan mengurung haiwan itu di dalam kandang.

Katanya, beliau amat berharap pemilik-pemilik lembu sedar dan memberikan kerjasama dalam perkara tersebut bagi kesejahteraan semua pihak.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) Mohd Solahuddin Che Daud berkata, pihaknya sentiasa mengadakan operasi berkala dalam mengatasi masalah lembu 'tidak bertuan'.

Katanya, operasi itu dilakukan sebanyak empat kali dalam tempoh sebulan.

"Saya amat berharap supaya pemilik-pemilik lembu memberikan kerjasama dengan mengurung haiwan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!