Pengumuman berkaitan tol sempena Krismas dijangka Jumaat ini

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KAJANG - Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Selasa memberi bayangan pengumuman berkaitan tol sempena perayaan Krismas, berkemungkinan dibuat Jumaat ini.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya, dijangka membuat pengumuman tersebut.

"... akan umum sama ada bila tarikhnya, ada atau tidak pengecualian tol sempena Krismas.

"Saya diberitahu kemungkinan pada hari Jumaat ini pengumuman ada atau tidak, bagaimana, tarikhnya bila. Itu kita tunggu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di sini pada Selasa.

Ahmad berkata, secara puratanya, kerajaan memperuntukkan RM21 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya, menerusi pelaksanaan tol percuma.

Pada tahun ini sahaja, katanya kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali RM42.31 juta dan Tahun Baru Cina RM41.21 juta.
@sinarharianonline Pengumuman tol sempena krismas dijangka jumaat ini #fyp#beritaditiktok#Tol#Krismas FEEL THE GROOVE - Queens Road, Fabian Graetz

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan menyasarkan penambahan 100 lagi poin pengecasan EV di lebuh raya bertol, terutamanya di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) menjelang 2025 dengan mengambil kira keperluan pengguna kenderaan elektrik (EV), yang semakin meningkat.

Ketika ini, beliau berkata terdapat 60 poin pengecasan EV di Plus dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ditempatkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan stesen minyak antaranya di R&R Ayer Keroh Arah Utara (Plus), R&R Seremban Arah Utara (Plus) dan R&R Paka Arah Utara (LPT), yang dikendalikan oleh operator poin pengecas seperti TNB Electron dan Gentari.

"Keperluan menambah poin pengecasan EV merupakan antara cabaran baharu dalam landskap lebuh raya akan datang, selain mewujudkan konsep baharu untuk R&R, lebuh raya pintar dan pencahayaan diod pancaran cahaya (LED),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ahmad diberi taklimat pengurusan trafik hampir dua jam termasuk dibawa melawat ke pusat pengurusan trafik diiringi Ketua Pengarah LLM Sazali Harun.

LLM mengawal selia lebuh raya bertol termasuk Plus, LPT, dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dengan panjang keseluruhannya 2,080 kilometer. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!