Kurang 50 peratus mangsa penipuan buat laporan - Ipsos

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak sampai 50 peratus mangsa penipuan di negara ini mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa dengan sebahagian kecil memilih untuk berdiam diri dan tidak mengambil sebarang tindakan.

Menurut tinjauan bertajuk Penipuan di Malaysia yang dijalankan Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos), ke atas 1,000 responden mendapati hanya 48 peratus daripada mereka yang menjadi mangsa penipuan atau hampir menjadi mangsa penipuan tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa manakala 12 peratus lagi tidak mengambil sebarang tindakan.

Sementara itu, 39 peratus responden bertindak balas dengan menghubungi bank manakala 36 peratus lagi mendapatkan bantuan daripada kawan atau ahli keluarga.

Dalam pada itu, 25 peratus lagi menghebahkannya di media sosial manakala 23 peratus daripadanya membuat aduan kepada agensi perlindungan pengguna dan 10 peratus menghubungi peguam atau penasihat undang-undang berdasarkan dapatan yang diperoleh pada November 2023.

Sehubungan itu, Ketua Barisan Perkhidmatan Negara (Kecemerlangan Kreatif) Ipsos Malaysia, Kuan Sawu Fang berkata, pendekatan proaktif yang meliputi pelbagai aspek adalah penting dalam menangani isu penipuan ini perlu segera diambil.

"Walaupun peranan penguatkuasaan undang-undang adalah kritikal, orang ramai juga perlu diperkasakan dengan pendidikan dan perlindungan digital lanjutan.

"Keputusan kerajaan untuk menambah peruntukan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ialah langkah proaktif yang meyakinkan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Justeru, Sawu Fang berharap agar kerajaan memanfaatkan dapatan kajian yang dihasilkan itu serta mengambil tindakan tegas untuk memerangi kes penipuan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan cara itu, kita boleh memastikan keselamatan dan kestabilan semua rakyat Malaysia sekali gus menjamin masa depan sebuah masyarakat yang berdaya tahan terhadap ancaman aktiviti penipuan," ujarnya.

Tinjauan sama juga mendapati, Polis Diraja Malaysia menerima majoriti laporan penipuan dengan 62 peratus direkodkan manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (26 peratus), CyberSecurity Malaysia (24 peratus), Bank Negara (20 peratus), Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (16 peratus), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (14 peratus), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (12 peratus), Suruhanjaya Sekuriti (11 peratus), Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (10 peratus) dan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (9 peratus).

Kajian juga mendapati 51 peratus responden berdepan dengan penipuan pada tiga bulan lepas, sementara 26 peratus lagi berdepan penipuan sebulan lepas dan 14 peratus daripadanya seminggu lepas.

Tinjauan itu turut mendedahkan bahawa panggilan telefon dan WhatsApp mendominasi kategori penipuan susulan peningkatan dalam keterhubungan digital yang telah membuka kepada ruang 'scammer' untuk mengeksploitasi media sosial dan telefon.

Menurut tinjauan itu, 56 peratus daripada responden ditipu menerusi panggilan telefon, WhatsApp (54 peratus), Facebook (31 peratus), Telegram (30 peratus) dan khidmat pesanan ringkas (29 peratus).

Dalam pada itu, menurut kajian itu juga mendapati 40 peratus penipuan dilakukan menerusi penipuan telefon, 27 peratus penipuan dalam talian, 24 peratus penipuan pelaburan, 20 peratus penipuan pekerjaan, 18 peratus penipuan penghantaran e-dagang, enam peratus penipuan bersemuka dan enam peratus lagi melibatkan penipuan cinta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!