Perkahwinan campur unik, erat perpaduan
![Anita (kiri) bersama suaminya ketika majlis resepsi Hafiz (tiga kiri), Erika (empat kiri) dan keluarga Erika.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/12/19/2467382.jpg)
JEMPOL - Sebuah keluarga di Kampung Dedali, Batu Kikir di sini boleh dianggap 'Keluarga Perpaduan' apabila ada antara mereka mempunyai pasangan berlainan bangsa.
Malah perkahwinan campur itu turut disifatkan oleh Anita Mohd Zain, 54, sebagai simbol keunikan dalam negara ini yang berbilang kaum.
Bagaimanapun katanya, perkahwinan campur bukanlah perkara asing baginya kerana terlebih dahulu menikahi suaminya yang berbangsa India, Abdul Salam Chandran Abdullah, 65, sebelum dikurniakan lima anak berusia 35 hingga 12 tahun.
"Kami tidak terfikir pula anak kedua kami iaitu Hafiz Abdul Salam Chandran, 33, menikahi wanita Jepun, Erika Takahashi, 33, yang selamat di ijab kabul pada 8 Disember lepas.
![Hafiz dan Erika pada majlis resepsi mereka pada Sabtu lepas.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/12/19/2467383.jpg)
"Sebelum ini anak ketiga kami iaitu Hanif, 30, juga memilih wanita berlainan bangsa.
Pada mulanya bimbang juga sebab negara menantu jauh, berbeza adat dan agama, tetapi kalau dah jodoh kami terima seadanya, lagipun dalam masa sama kami dapat mengeratkan lagi hubungan dua negara," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, semasa majlis resepsi anak mereka Sabtu lepas, keluarga Erika hadir dengan menggayakan pakaian tradisional mereka.
Menceritakan kembali pengenalan anaknya itu dengan Erika, Anita berkata, mereka bekerja dalam satu syarikat di Kuala Lumpur sebelum masing-masing bertukar tempat kerja.
![Anita menunjukkan gambar perkahwinan anaknya Hafiz dan Erika.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/12/19/2467384.jpg)
"Buat masa ini mereka masih bekerja dan menetap di negara ini, perancangan masa hadapan saya tidak pasti, namun sebagai ibu dan ayah kami sentiasa mendoakan kesemua anak-anak bahagia dengan pilihan masing-masing.
"Insya-ALLAH selepas ini, jika ada jodoh mungkin anak keempat kami mengikuti jejak langkah yang sama (bernikah berlainan bangsa)," katanya.
Pada majlis resepsi perkahwinan Hafiz dan Erika turut menjadi perhatian apabila keluarga berkenaan mempersembahkan tarian singa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!