Penyertaan bumiputera kurang dalam arkitek, peguam, akauntan
SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan bahawa penyertaan bumiputera dalam bidang profesion seperti arkitek, peguam dan akauntan didapati kurang bawah 50 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan laporan penerbitan Statistik Bumiputera 2023, bumiputera mencatatkan penyertaan bagi arkitek sebanyak 41.2 peratus, diikuti peguam (38.2 peratus) dan akauntan (31.8 peratus).
“Penyertaan dalam profesional terpilih menunjukkan bumiputera menyumbang 92.8 peratus dan 83.8 peratus daripada jumlah penolong pegawai perubatan serta jururawat pada 2022.
“Sementara itu, bumiputera menyumbang 60.8 peratus juruukur tanah, 61.5 peratus juruukur bahan, 52.8 peratus doktor gigi dan 52.7 peratus pereka dalaman,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Uzir berkata, penerbitan Statistik Bumiputera 2023 memaparkan statistik bumiputera dalam bidang sosial dan ekonomi sama ada di peringkat nasional atau negeri untuk tahun rujukan 2015 hingga 2023.
“Ia merangkumi statistik dalam bidang sosial dan ekonomi antaranya penduduk, guna tenaga, pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, kesihatan, pelancongan, profesion berdaftar dan harta tanah,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut beliau, dari segi anggaran penduduk pada tahun ini, penduduk bumiputera mencatatkan sebanyak 63.9 peratus iaitu 21.3 juta daripada 33.4 juta penduduk di Malaysia.
Tambahnya, sumbangan bagi penduduk bukan bumiputera dan bukan warganegara masing-masing adalah 27.2 peratus dan 8.9 peratus.
“Penduduk bumiputera lelaki dianggarkan seramai 10.8 juta orang, manakala bumiputera perempuan seramai 10.5 juta orang manakala nisbah jantina bumiputera adalah 102 lelaki berbanding 100 perempuan.
"Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bagi bumiputera meningkat kepada 67.1 peratus berbanding 2021 iaitu 65.8 peratus manakala dari segi jantina, KPTB bagi lelaki dan perempuan bumiputera masing-masing adalah 80 peratus dan 54.1 peratus," katanya.
Mohd Uzir berkata, berdasarkan pencapaian pendidikan, sumbangan tenaga buruh bumiputera yang berpendidikan peringkat menengah dan ke bawah adalah 62.3 peratus manakala 37.7 peratus lagi tenaga buruh bumiputera berpendidikan tertiari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!