Misi ketiga Ops Ihsan selamat mendarat di Mesir
Sekretariat Ops Ihsan dalam satu kenyataan berkata, penerbangan yang mengambil masa hampir 11 jam itu disertai 10 orang kru termasuk dua petugas media Ops Ihsan.
Ketibaan pesawat sewa khas A330-200 MASKargo itu disambut oleh pegawai Pengendalian Darat Lapangan Terbang Antarabangsa el-Arish bersama dengan pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.
Penghantaran kali ini melibatkan sejumlah 60 tan barangan bantuan berbentuk ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan, keperluan bayi dan wanita serta keperluan musim sejuk yang bernilai RM3 juta.
Menurut kenyataan itu, barangan yang diterima oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir ini kemudian akan dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah sebelum diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin yang bertanggungjawab menguruskan proses agihan kepada hospital-hospital dan juga masyarakat Gaza yang memerlukan.
Ops Ihsan merupakan usaha kolektif dan bersepadu pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan dalam mengumpul dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza susulan serangan tentera rejim Israel sejak Oktober lepas.
Melalui penghantaran ketiga itu, Malaysia sudah menghantar barangan bantuan mencecah 100 tan, selepas penghantaran pertama dan kedua masing-masing melibatkan barangan seberat 20 tan.
Misi Ops Ihsan yang pertama berjaya dilaksanakan pada 3 November manakala misi kedua pula pada 10 November. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!