Disiplin polis secara keseluruhan baik - Suhakam
KUALA LUMPUR - Tahap disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara keseluruhan adalah baik dalam menjalankan tugas.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Ragunath Kesavan berkata, penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah dengan memastikan layanan kepada orang awam lebih mesra.
“Secara keseluruhan, disiplin dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat baik. Masih ada ruang penambahbaikan.
“Suhakam selalu adakan bengkel latihan (dengan PDRM) untuk pupuk kesefahaman hak asasi manusia dan memahami semua proses serta prosedur berkaitan.
“Peringatan yang selalu kita berikan kepada pihak polis ialah libat urus dan interaksi dengan masyarakat perlu mesra,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Jelasnya, polis perlu lebih berhemah dalam menjelaskan kepada masyarakat mengenai hak yang dimiliki orang awam apabila ditahan, menjalani proses penyiasatan, ditahan, direman dan sebagainya.
Pada masa sama, Ragunath mengakui hakikat bahawa PDRM berdepan dengan cabaran tersendiri untuk memastikan setiap penyiasatan yang dilakukan adalah sempurna.
Jelasnya, polis memerlukan lebih banyak kakitangan, peruntukan dan taraf kebajikan anggota lebih baik.
“Pihak polis juga mengalami banyak masalah dalam menjalankan tugas dari segi kekurangan kakitangan, bajet yang tidak cukup, hal ehwal kebajikan, perumahan, tangga gaji, peralatan dan sebagainya.
“Bagi memboleh penyiasatan yang rapi dan mendalam, untuk jenayah komersial contohnya, memerlukan pakar khusus untuk bantu polis dalam penyiasatan. Sumber bagi pihak polis perlu dipertingkatkan,” tambahnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!