Dibuang sekolah gara-gara ibu pro-Palestin
MIAMI - Seorang remaja berusia 15 tahun di Florida, Amerika Syarikat (AS) dibuang sekolah hanya kerana ibunya memuat naik status menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas di Instagram.
Jad Abuhamda menjelaskan tindakan ke atasnya tidak adil dan satu bentuk diskriminasi terang-terangan yang menyasarkan komuniti Islam serta Arab susulan konflik di Genting Gaza antara Israel-Hamas.
Pelajar darjah 10 itu disingkirkan dari Sekolah Pine Crest di Fort Lauderdale pada 19 November lalu.
Ibunya, Dr Maha Almasri yang juga merupakan tutor matematik di sekolah tersebut turut dipecat daripada jawatannya.
Maha memuat naik status mengkritik hukuman kolektif Israel terhadap orang awam dan kanak-kanak di Gaza.
Sementara itu, sekolah swasta tersebut dalam satu kenyataan menyebut bahawa tindakan terhadap dua beranak itu dibuat selepas mendapati kenyataan dibuat Maha di media sosial sebagai kebencian dan menghasut.
Maha menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan kenyataannya disalahtafsir sambil menyatakan bahawa layanan terhadap anaknya sebagai tidak wajar.
"Tiada satu pun kenyataan saya menghasut keganasan. Saya hanya menyentuh krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza," ujar Maha.
Sementara itu, Majlis Perhubungan Islam Amerika (CAIR) cawangan Florida menggesa Jabatan Pendidikan menyiasat layanan tidak adil terhadap dua beranak itu.
"Ini adalah satu tindakan yang menindas hak rakyat Amerika untuk menyatakan apa yang mereka rasakan sebagai hak asasi manusia," kata peguam CAIR, Omar Saleh.
Setakat ini, CAIR merekodkan lebih daripada 2,171 permintaan untuk bantuan dan laporan berat sebelah serta anti-Arab dalam tempoh sembilan minggu sejak 7 Oktober lalu.
Di AS sebarang kritikan terhadap pencerobohan Israel di Gaza dianggap sebagai anti-Semitik atau kebencian terhadap bangsa Yahudi.
Anti-Semitik digunakan secara meluas oleh Israel untuk menutup mulut pengkritiknya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!