Usah jaja hal rumah tangga di media sosial
PERKAHWINAN adalah institusi menyatukan pasangan untuk sama-sama mengharungi segala suka duka dalam kehidupan.
Sudah menjadi fitrah semula jadi manusia untuk hidup berpasang-pasangan seterusnya mengeratkan hubungan silaturahim antara diri, keluarga dan saudara-mara.
Bagaimanapun, ‘masjid’ yang dibina atas ikatan sah ini bukan semuanya mampu bertahan lama, malah ada yang runtuh dalam sekelip mata.
Paling mengejutkan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan, kadar penceraian di negara ini pada tahun lalu direkodkan paling tinggi sejak tahun 2016.
Statistik tersebut menunjukkan perceraian pasangan Islam meningkat 45.8 peratus pada tahun lalu iaitu 46,138 kes berbanding 2021 sebanyak 31,650 kes.
Hakikatnya, trend itu amat membimbangkan lebih-lebih lagi ada pasangan yang beberapa minggu berkahwin sudah buat hal dan tidak lagi tinggal sebumbung.
Sama ada sedar atau tidak, kini muncul satu fenomena menceritakan masalah rumah tangga masing-masing di media sosial untuk menarik perhatian dan meraih simpati.
Perkahwinan bukan permainan, apatah lagi secara semberono meluahkan masalah dihadapi kepada khalayak umum.
Konflik dilalui ini tidak membantu menyelesaikan masalah apatah lagi sebagai jalan pintas membincangkannya secara terbuka, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan pihak bertelagah.
Perasaan malu dan aib pasangan tidak dihiraukan, sebaliknya sesuka hati menjatuhkan hukum kononnya diri ’terpaling’ suci dan berada di pihak benar.
Antara punca berlakunya penceraian seperti masalah kewangan, ketidaksefahaman, campur tangan pihak luar, kehadiran pihak ketiga, pengaruh dadah, cemburu dan penderaan fizikal dan mental.
Namun, terdapat juga kes penceraian berlaku disebabkan perkara remeh antaranya tidur berdengkur, bau badan, bangun lewat dan berebut rancangan televisyen.
Pasangan yang ingin bercerai pula menggunakan pelbagai alasan untuk tidak hidup bersama lagi antaranya tiada jodoh dan sudah tidak ada persefahaman.
Barangkali hanya penceraian sahaja jalan penyelesaian yang ada, sedangkan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta itu sepatutnya diselamatkan terlebih dahulu.
Suami pula selaku ketua keluarga perlu memainkan peranan untuk membimbing isteri dan tidak mudah melafazkan talak.
Bak kata bidalan Melayu, sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri.
Penceraian tidak digalakkan dalam Islam, sebaliknya ia satu-satunya jalan penyelesaian terakhir mengatasi masalah suami isteri.
Fikir dengan mendalam
Banyak kesan buruk jika berlakunya penceraian misalnya menjejaskan kebajikan dan hubungan antara anak, meruntuhkan institusi keluarga serta mencetuskan konflik berpanjangan.
Anak-anak memerlukan kasih sayang ibu bapa mereka dan sebagai pasangan berpeganglah kepada kunci sabar dalam melayari bahtera rumah tangga.
Berfikir dan munasabah sebelum bertindak memutuskan ikatan perkahwinan serta melihat kelebihan pasangan masing-masing.
Sepatutnya, pasangan suami isteri terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat sama ada pakar kaunseling atau pihak ketiga yang lebih arif bagi membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi.
Justeru, pihak berkuasa agama negeri misalnya disaran menambah baik kursus praperkahwinan bersesuaian dengan keadaan semasa.
Beberapa modul baharu perlu diperkemas agar ia bersifat menyeluruh dan memberi lebih kefahaman kepada pasangan apabila melayari bahtera rumahtangga.
Ilmu berhubung pengurusan kewangan, mental dan emosi serta jenayah kekerasan sewajarnya diberi pertimbangan bagi mengelakkan kes penceraian terus meningkat.
Selain itu, pasangan suami isteri juga perlu lebih memahami tanggungjawab masing-masing dan mengetahui tujuan asal sesebuah perkahwinan.
Bagi penganut beragama Islam, ikuti, hayati dan fahami syariat yang telah ditetapkan bagi menyatukan hubungan perkahwinan yang kekal selamanya.
Keimanan yang teguh antara suami isteri pastinya dapat melahirkan sifat kesabaran, amanah, kepercayaan, toleransi dan kasih sayang.
* Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor/KL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!