Penduduk pesisir pantai diminta waspada
KUALA TERENGGANU - Penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai di negeri ini diminta berwaspada terhadap kemungkinan banjir gelombang ketiga yang dijangka melanda bermula 22 hingga 26 Disember depan.
Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, keadaan itu dijangka berlaku susulan ramalan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkenaan Ribut Tropika Jelawat dari Filipina yang akan melanda dalam tempoh berkenaan.
Menurutnya, situasi banjir itu diramal agak serius ekoran berlaku pertembungan ribut berkenaan dengan angin tropika.
"Banjir gelombang ketiga diramal membawa kesan agak serius kerana dijangka berlaku taburan hujan yang agak tinggi. Jika betul berlaku, ia bukan sahaja melibatkan hujan namun angin yang agak kuat juga akan melanda.
"Justeru kita menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir terutama di pesisir pantai dan kawasan-kawasan yang sering dinaiki air supaya mengambil langkah berwaspada sepanjang tempoh tersebut," kepada pemberita selepas Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 di sini.
Sumbangan oleh Yayasan Petronas itu disampaikan oleh Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli kepada 1,500 keluarga terjejas banjir di Terengganu.
Antara barangan yang diagihkan terdiri daripada keperluan asas seperti selimut, tuala mandi, biskut, makanan sedia dimakan, peralatan mandian, ubat gigi, berus gigi dan air mineral.
Ia diagihkan kepada setiap keluarga dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Terengganu.
Menurut Mohammad Ahmad Shazly, Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 adalah antara usaha berterusan dijalankan oleh Yayasan Petronas dalam membantu mangsa banjir yang terjejas.
"Sumbangan disampaikan ini diharap mampu memberi manfaat kepada mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS)," ujarnya.
JPBN, JPBD di beberapa negeri diaktifkan serta-merta - Nadma
Dalam perkembangan berasingan Bernama melaporkan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah (JPBN/JPBD) diaktifkan berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan yang dikeluarkan oleh MetMalaysia tengah malam Rabu.
Nadma dalam Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana hari ini meminta JPBN dan JPBD meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.
Selain itu, JPBN dan JPBD perlu memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas, dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.
"Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.
"NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel opsroom@nadma.gov.my," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Rompin, Pahang dan beberapa kawasan di Johor iaitu Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru sehingga esok.
Sementara di seluruh negeri Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan di Pahang iaitu Jerantut, Kuantan dan Pekan hujan berterusan dijangka bermula esok hingga 25 Disember ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!