'Wahai Netanyahu, apa yang kamu dapat dengan bunuh kanak-kanak?'
GAZA - Di sebuah hospital di bandar Rafah, selatan Gaza, Mohammed Zoghroub mengucapkan selamat tinggal kepada dua anaknya - seorang lelaki, Ahmed berusia dua tahun dan Aisha, bayi perempuan yang lahir dua minggu lalu - kedua-dua anak kecil itu terbunuh dalam serangan waktu Subuh di rumah mereka.
Mohammed yang turut cedera dalam serangan Israel itu menahan sebak ketika menyelak kain kafan untuk melihat wajah zuriat kesayangan yang menemui ajal akibat keganasan tentera zionis itu, sementara isteri dan ibunya pula dalam penuh hiba berdiri di tepi katil.
“Baru dua minggu. Namanya pun belum didaftarkan lagi,” kata nenek kanak-kanak itu, Suzan Zoghroub.
Sambil air mata jatuh dari kelopak matanya, Suzan melemparkan pertanyaaan pada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu: “Adakah dia berfikir dengan membunuh kanak-kanak ini dia akan mencapai sesuatu?
Adakah mereka berjaya sekarang?
Adakah dia telah mencapai apa yang dia mahukan?”
Suzan cuba mengingati semula kejadian ngeri yang berlaku sehingga meragut seluruh masa depan mereka.
Kata Suzan, dia dan seluruh ahli keluarganya sedang tidur apabila pangsapuri yang didiami mereka diserang melalui udara oleh Israel sebelum Subuh pada Selasa.
"Kami dapati rumah telah runtuh menimpa kami," katanya menyambung cerita.
Menurutnya, dua anak lelakinya mempunyai pangsapuri di tingkat yang lebih tinggi, tetapi keluarga itu memilih untuk tinggal bersama di tingkat bawah di tengah-tengah kebimbangan serangan udara. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!