Maurinho dedah sebab United tidak akan berjaya
BEKAS pengendali Manchester United, Jose Mourinho memberitahu The Red Devils tidak akan berjaya selagi terdapat beberapa pemain dan kakitangan yang bermasalah di kelab itu.
Bercakap dalam podcast Obi One John Obi Mikel, Mourinho mendakwa dia memberikan amaran kepada United ketika mengendalikan kelab itu, namun beberapa pemain dan jurulatih masih kekal di kelab itu sekarang.
“Masih ada beberapa orang dalam kelab itu dan orang yang saya maksudkan adalah beberapa pemain dan juga kakitangan di kelab itu," katanya.
Mourinho adalah pengendali United dari 2016 hingga 2018, memenangi Liga Europa dan Piala Liga Inggeris pada musim pertamanya.
Kempen berikutnya menyaksikan Red Devils menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris di belakang Manchester City kendalian Pep Guardiola, dan mereka tewas dalam final Piala FA kepada Chelsea.
Musim ketiga merupakan musim terburuk buat Maurinho dan dia dipecat pada Disember 2018.
Jurulatih kelahiran Portugal itu yang kini mengendalikan AS Roma menjelaskan bagaimana corak kejurulatihannya berubah ketika membimbing United.
“Di Manchester United, saya menukar pemain pada separuh masa... ejennya kemudian menuduh saya membuli.
“Saya terpaksa berubah. Saya masih ingat detik itu dan saya ketawa. Tetapi, itulah yang terpaksa dilalui," katanya.
United kini berada di kedudukan ketujuh dalam carta Liga Perdana di bawah pengurus Erik ten Hag dan telah pun tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!