Dakwaan buli: Polis akan rakam keterangan, ibu bapa, rakan, pihak sekolah
KUALA LUMPUR - Polis akan merakam percakapan ibu, bapa, rakan dan pihak sekolah berhubung dakwaan seorang remaja melarikan diri dari sebuah asrama di Cheras di sini, akibat dibuli berulang kali.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada keluarga mangsa, tengah hari Selasa.
"Kita akan panggil semua pihak berkaitan untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 oleh D11 (Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan, pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Cheras, ditemukan dalam keadaan lemah oleh ibu bapanya dan guru sekolah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak pada 8 Disember lalu.
Pelajar berusia 14 tahun itu ditemukan beberapa jam selepas dilaporkan hilang dari asrama.
Keadaan pelajar itu masih semakin baik, tetapi masih trauma.
Anak sulung daripada tiga beradik itu masih menerima rawatan selepas dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM di sini sejak 9 Disember lalu.
Susulan kejadian, ibu mangsa dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan perundangan berhubung kejadian buli itu yang didakwanya sudah berulang kali terjadi.
Tindakan sedemikian perlu dilakukan bagi memperjuangkan nasib anaknya kerana dibuli dengan teruk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!