1,066 individu ditahan terlibat sindiket penipuan sejak Januari

Allaudeen
Allaudeen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,066 individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pusat panggilan penipuan sejak Januari hingga November lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam tempoh itu sebanyak 87 kertas siasatan telah dibuka.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur telah melakukan 1,609 serbuan bagi jenayah siber dan multimedia serta 1,222 serbuan bagi lain-lain operasi," katanya dalam ucapan pada perhimpunan bulanan di sini pada Rabu.

Dalam kes berasingan, Allaudeen berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur telah merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM125.4 Juta sejak Januari hingga November lalu.

"Jumlah nilai rampasan itu meningkat berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu RM122.8 juta," katanya

Beliau berkata, statistik perbandingan tangkapan turut mencatatkan peningkatan iaitu seramai 13,215 orang ditahan pada tahun ini, berbanding 12,187 orang ditangkap pada tahun lalu.

"Saya difahamkan kadar pertuduhan dari Januari sehingga November lalu bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya mencapai kadar pertuduhan sebanyak 97.5 peratus dengan penyelesaian kertas siasatan 97.9 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Kuala Lumpur telah mengambil tindakan hukuman buang kerja ke atas 31 pegawai dan anggota sejak Januari hingga November lalu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh yang sama tahun lalu, seramai 40 anggota dan pegawai turut dikenakan tindakan sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!